Emas kekal didagangkan tinggi menjelang penghujung minggu dan berada di landasan untuk minggu terbaiknya dalam tempoh lebih lima bulan susulan kemerosotan US dolar dan hasil perbendaharaan AS.
Pada sesi Asia, emas didagangkan sedikit susut pada $1,794 per auns tetapi kekal menguat di paras tertinggi satu bulan. Sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan pada $1,795 per auns.
Kemerosotan US dolar dan hasil bon AS terus meletakkan dagangan logam kuning itu lebih tinggi, selain turut disokong oleh peningkatan inflasi AS yang tinggi.
Selepas diperlihatkan dengan bacaan indeks harga pengguna (CPI) yang kuat, pelabur juga menyaksikan peningkatan dalam harga pengeluar (PPI) AS yang menunjukkan kenaikan terbesar dari tahun ke tahun, walaupun secara bulanan ia sedikit susut.
Lonjakan inflasi yang lebih tinggi telah menyokong pengukuhan harga emas yang sering dianggap sebagai lindung nilai kepada inflasi.
Bagaimanapun, faktor dari bacaan data tuntutan pengangguran yang lebih baik pula membataskan pergerakan harga emas untuk menembusi paras harga $1,800 per auns.
Pelabur kini menantikan penerbitan data jualan runcit AS pada malam ini yang dijangka akan menunjukkan penurunan pada bulan September.