Tempahan Vaksin Lebih 108% Daripada Populasi Malaysia

240

Vaksin Covid-19 yang ditempah oleh Malaysia telah melebihi 108% daripada jumlah penduduk negara ini.

Lapor Bernama, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Ujar beliau, orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang disediakan adalah mencukupi.

“Nasihat saya kepada seluruh rakyat Malaysia sekarang, sila mendaftar dengan aplikasi MySejahtera kerana program vaksin yang kita sediakan adalah mencukupi untuk semua orang.

“Dari segi giliran, sebarang kegiatan potong barisan kita tidak benarkan termasuk mereka yang tidak tergolong dalam senarai barisan hadapan dan perkara itu boleh diadukan,” ujarnya selepas Majlis Pelancaran Aplikasi MyCar 3.0 semalam.

Tambah Ahmad Amzad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut memberi jaminan tidak akan berlaku gangguan bekalan elektrik yang boleh memberi kesan terhadap penyimpanan vaksin Covid-19 terutamanya Pfizer-BioNTech yang memerlukan suhu -70 darjah Celcius.

Jelasnya, perbincangan dengan TNB telah dijalankan pada minggu lalu bagi memastikan mereka mempunyai pelan gantian supaya tidak berlaku gangguan kepada bekalan elektrik.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Jepun, yang mana saya difahamkan sebanyak 1,000 dos vaksin terpaksa dibuang begitu sahaja disebabkan bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba minggu lalu.

“Maka semua ini telah diambil kira dan mudah-mudahan, kita harap perkara berkenaan tidak berlaku dan kita juga telah mengambil langkah yang perlu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Azman berkata, organisasi media boleh menghantar permohonan kepada kerajaan untuk menyenaraikan pengamal media dalam kategori petugas barisan hadapan fasa satu.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat