Terpaksa Gantung Operasi, Bukan Mudah Buat Supermax

1,629

Supermax Corp Bhd bertindak menggantung sementara operasi di kilang pengeluarannya di Meru, Selangor selama tiga hari mulai hari ini berikutan beberapa kes positif Covid-19 membabitkan kalangan pekerjanya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat pengeluar sarung tangan getah itu berkata, kes pertama virus tersebut dipercayai berpunca daripada pihak pengangkut luaran, walaupun telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Aspek keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan komuniti tempatan merupakan keutamaan dalam usaha membendung penularan ini.

“Penutupan sementara pada 10-12 Februari ini adalah sejajar dengan usaha untuk meminimumkan risiko penyebaran virus tersebut,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Supermax juga menegaskan bahawa syarikat itu telah menjalankan ujian saringan Covid-19 berkala bagi kalangan pekerja asing dan tempatan di semua kilang miliknya.

“Supermax juga memberi kerjasama erat kepada Kementerian Kesihatan dan akan terus mematuhi SOP Covid-19 yang telah ditetapkan.

“Usaha pembasmian kuman di semua premis dan asrama pekerja akan turut diteruskan secara lebih kerap dengan melaksanakan semua langkah-langkah kawalan secara ketat,” ujarnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat