Tiada Lagi Perubahan Dalam Dasar Monetari Amerika Syarikat Akan Datang?

304

Federal Reserve Amerika Syarikat (Fed) kelihatan lebih selesa dengan kadar faedah yang ditetapkan setakat ini apabila tiada seorang pun daripada mereka yang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu sentimen pasaran.

Pengerusi Fed, Jerome Powell yang memberikan keterangannya di Kongres semalam, memberitahu bahawa beliau selesa dengan keadaan di mana kadar faedah berada sekarang ini dengan menyatakan kemungkinan ia akan kekal untuk jangka masa yang lama.

Beliau juga menyatakan keyakinannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara adalah kukuh. Dengan berpandukan kenyataannya sebelum ini, ia jelas bahawa beliau mengambil langkah tunggu dan lihat untuk perubahan polisi akan datang.

Selain itu, Presiden Fed St Louis, James Bullard pula menyatakan bahawa ia adalah wajar untuk menunggu dan melihat bagaimana ekonomi bertindak balas terhadap pemotongan kadar faedah baru-baru ini.

Beliau turut memberitahu pelarasan Fed baru-baru ini terhadap kadar yang lebih rendah dalam menghadapi ketidakpastian perdagangan AS dan China, boleh membantu memudahkan pertumbuhan yang lebih cepat pada 2020.

Presiden Fed Dallas, Robert Kaplan pula berpendapat penggunaan AS adalah berada dalam keadaan baik, malah beliau optimis bahawa penggunaan yang kukuh akan membantu ekonomi AS mengelak daripada kemelesetan pada 2020.

Sementara itu, Presiden Fed New York, John Williams juga berpandangan sama dengan Powell bahawa kadar faedah sekarang berada pada paras yang sesuai dengan pertumbuhan ekonomi. William memberitahu tidak akan ada tindakan lanjut akan dilakukan sekiranya keadaan ekonomi semasa terus meningkat.

Menurut Williams, perubahan dasar monetari yang dilakukan pada tahun ini adalah untuk mengimbangi ekonomi AS supaya kekal kukuh dengan pertumbuhan global yang perlahan, dan menyediakan jaminan terhadap risiko akan datang.

Daripada kenyataan-kenyataan ini dapat disimpulkan bahawa Fed selesa dengan kadar faedah yang ditetapkan sekarang ini dan menimbulkan kemungkinan bahawa tidak akan datang perubahan dasar monetari yang akan dilakukan menjelang pilihan raya tahun depan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat