Tidak Balas Serangan Iran, Sebaliknya Trump Gunakan Kuasa Sekatan Ekonomi

1,465

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam ucapannya awal pagi tadi memberitahu bahawa Iran tidak menunjukkan sebarang tanda untuk meneruskan serangan, selepas ia melancarkan peluru berpandu ke pangkalan tentera A.S pada Rabu.

Trump memaklumkan bahawa tiada rakyat Amerika yang terkorban mahupun tercedera daripada serangan tersebut. Kira-kira 16 peluru berpandu balistik telah dilepaskan, di mana sekurang-kurangnya 11 peluru melanda pangkalan udara al-Asad dan satu lagi terkena pangkalan di Erbil, tetapi tidak menyebabkan kerosakan besar.

Melalui ucapan beliau, Trump dilihat tidak ingin membalas balik serangan Iran dengan ketenteraan, sebaliknya beliau telah mengancam untuk mengenakan sekatan tambahan ekonomi ke atas Iran.

Strategi sekatan telah menjadi lambang kepada pentadbiran Trump untuk menangani Iran. Bulan lalu, pegawai Jabatan Negara telah memaklumkan bahawa tekanan ke atas Iran akan meningkat pada tahun 2020, kerana A.S berusaha untuk mengekang kemajuan insfrastruktur nuklear Iran dan pencerobohan serantau.

Sebelum ini pada bulan Disember, Setiausaha Negara A.S, Mike Pompeo telah mengumumkan satu sekatan baru yang menyasarkan syarikat perkapalan dan penerbangan terbesar Iran, dengan mendakwa syarikat itu menyokong penipuan rejim senjata pemusnah besar-besaran.

Pada masa yang sama, beliau juga mempertahankan tindakan Pentagon untuk membunuh Jeneral tentera Iran, Qassem Soleimani yang dilabel sebagai pengganas utama dunia pada minggu lalu.

Di samping itu, Trump juga bersumpah untuk tidak membenarkan Iran untuk mendapatkan senjata nuklear dan mendesak supaya negara-negara yang terlibat dengan perjanjian nuklear 2015 supaya keluar daripada perjanjian tersebut serta mendapatkan perjanjian baru, seperti mana yang dilakukan oleh A.S pada 2018.

Keredaan krisis ini telah mengembalikan keyakinan pelabur sekali gus mengangkat matawang US dolar untuk diniagakan tinggi pada sesi Asia, manakala dagangan safe-haven yen, swiss franc dan emas pula terus merosot.

Sementara itu, dua roket dilapor telah dilancarkan ke kawasan Green Zone di Baghdad sehari selepas serangan balas Iran ke atas pangkalan A.S berlaku.

Polis Iraq memaklumkan dua roket Katyusha didapati terjatuh dalam kawasan Green Zone yang menempatkan kedutaan Amerika Syarikat dan kedutaan negara-negara Barat lain, namun tiada mangsa terkorban atau cedera dilaporkan berlaku.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat