Tiga Sektor Jadi Perhatian Susulan Pelancaran NIP

621

Sektor perbankan, minyak dan gas (O&G) serta sektor penerbangan di Bursa Malaysia dijangka memperoleh manfaat daripada sudut pandangan pelabur susulan daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP) yang dilancarkan oleh kerajaan semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pelaksanaan program imunisasi itu akan mengembalikan semula keyakinan perniagaan di Malaysia dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih banyak kelonggaran sekatan perjalanan dijangka akan berlaku.

“Oleh kerana jumlah pergerakan perjalanan mungkin meningkat selepas tempoh vaksinasi dengan syarat vaksin tersebut terbukti berkesan, syarikat penerbangan akan meningkatkan kapasiti penerbangannya seterusnya menyebabkan penggunaan bahan bakar lebih tinggi, ia adalah baik bagi sektor O&G,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama hari ini.

Dalam pada masa yang sama, menurut Adam, sektor sarung tangan mungkin mengalami kesan buruk kerana para pelabur dapat merasakan bahawa sarung tangan getah tidak lagi diperlukan berbanding dengan pada waktu awal penularan Covid-19 dahulu.

“Pembuat sarung tangan yang sedang berkembang maju mungkin akan terjejas dan mengalami penurunan permintaan kerana sentimen dalam kalangan orang ramai menunjukkan bahawa mereka skeptik terhadap permintaan bagi tempoh selepas program vaksinasi.

“Bagaimanpun, permintaan kekal stabil pada masa depan dalam persekitaran tahap kesedaran yang semakin tiggi mengenai amalan kebersihan di kebanyakan tempat di seluruh dunia,” jelas Adam.

Mengenai tanggapan bahawa syarikat logistik dijangka juga mendapat keuntungan daripada kesan limpahan NIP, Adam berpendapat bahawa pasti timbul beberapa masalah melibatkan logistik vaksin.

“Vaksin perlu disimpan dalam suhu yang ditetapkan dan tidak banyak penyedia gudang yang memiliki kemampuan ini, justeru mungkin ada wujud masalah ketika mengedarkan dan menyimpan vaksin tersebut,” kata beliau.

Adam juga menyarankan agar syarikat logistik memperluaskan perniagaan mereka dengan terlibat dalam pengurusan pengedaran dan penyimpanan vaksin kerana akan mendapat permintaan tinggi apabila program imunisasi vaksin itu dilancarkan.

Malaysia akan memulakan progam imunisasi itu pada 26 Februari depan dan merupakan program vaksinasi terbesar yang pernah dilakukannya dalam usaha untuk melindungi rakyat daripada Covid-19.

Penghantaran vaksin pertama dijadual dihantar lima hari lebih awal iaitu pada 21 Februari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi individu pertama yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 26 Februari ini diikuti pasukan petugas hadapan di bawah NIP itu yang dijangka akan berlangsung sehingga bulan Februari tahun depan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat