Tinggi Betul Dolar Aussie Melonjak Selepas Minit Mesyuarat RBA

270

Reserve Bank of Australia (RBA) hari ini telah menerbitkan laporan minit mesyuarat polisi, hasil pertemuan pada awal September baru-baru ini yang menyaksikan bank pusat mengekalkan kadar faedah dan sasaran hasil bon 3 tahun pada 0.25%.

Bank pusat menyatakan akan mengekalkan polisi akomodatif selagi diperlukan dan akan terus mempertimbangkan bagaimana langkah-langkah dasar selanjutnya dapat menyokong ekonomi negara yang sedang melemah.

Pembuat dasar RBA mengakui bahawa kemerosotan yang disebabkan Covid-19 adalah tidak seteruk seperti yang disangkakan dan dapat dilihat bahawa pemulihan sedang berlaku di kebanyakan negeri di Australia. Namun, pemulihan ini mungkin tidak sekata berikutan sekatan coronavirus di Victoria akan memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, tekanan terhadap pertumbuhan upah dan inflasi dilihat tetap lemah dan situasi ini mungkin berterusan untuk sementara waktu. Permintaan untuk pinjaman perniagaan juga rendah, mencerminkan kelemahan dalam ekonomi dan tahap ketidakpastian yang tinggi.

Walau bagaimanapun, pasaran bon kerajaan dikatakan telah beroperasi dengan berkesan, tetapi sokongan fiskal dan kewangan masih diperlukan untuk jangka masa yang panjang bagi terus menyokong pemulihan ekonomi.

Susulan daripada penerbitan minit mesyuarat RBA, dolar Aussie memadamkan kerugian yang dicatatkan pada awal dagangan dengan melonjak 0.3% kepada 0.7314 berbanding US dolar.

Turut menyokong dagangan dolar Aussie apabila China mengumumkan untuk melanjutkan pengecualian tarif ke atas 16 barangan daripada Amerika Syarikat, meredakan kebimbangan pelabur terhadap hubungan antara dua ekonomi gergasi itu yang semakin memburuk.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat