Tinjau Kaunter Tarikan Minat Belian Pelabur

273

Dagangan di Bursa Malaysia terus mengekalkan trend menaik untuk dibuka tinggi pada urus niaga pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh semalaman di Wall Street selepas para pelabur yakin bahawa ekonomi Amerika Syarikat (AS) kini berada di landasan betul untuk kembali pulih.

Keyakinan ini dirangsang oleh kenyataan positif daripada pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell yang memberi jaminan sokongan bank pusat boleh membantu ekonomi tanpa membabitkan inflasi yang membebankan.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.34 mata kepada 1,614.74 daripada penutupan urus niaga petang semalam.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 12.55 mata lebih tinggi pada 1,614.95.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 275 berbalas 211 manakala 300 kaunter tidak berubah, 1,371 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 403.91 juta saham bernilai RM276.73 juta.

Menurut nota penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan menjejaki keuntungan semalaman di Wall Street, terutama Nasdaq, memandangkan sentimen positif dijangka cenderung kepada saham teknologi di pasaran tempatan.

Tambah firma itu, untuk komoditi pula, harga minyak sawit mentah menyaksikan penurunan sederhana sementara harga minyak mentah Brent naik lebih tinggi.

“Untuk sektor yang menjadi tumpuan, kami menjangkakan minat belian akan muncul di sektor teknologi.

“Selain itu, kami berpendapat peserta pasaran akan turut meninjau saham pengguna, penerbangan, hartanah dan pembinaan untuk pendedahan tema pemulihan,” ujar firma terbabit.

Sementara itu, firma penyelidikan berkenaan turut menambah dengan FBM KLCI kekal teguh melepasi paras psikologi 1,600 diikuti jumlah dagangan dua kali ganda, tahap halangan untuk dagangan ialah antara 1,615 hingga 1,635 sementara tahap sokongan ditetapkan pada 1,565 hingga 1,575.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah satu sen kepada RM8.28, RM4.22 dan RM7.81, Tenaga naik enam sen kepada RM10.20 dan IHH Healthcare turun tiga sen kepada RM5.27.

Bagi kaunter aktif pula, SYF Resources meningkat satu sen kepada 45 sen, KTG dan AT Systematization naik setengah sen masing-masing kepada 28 sen dan 11.5 sen, LKL turun satu sen kepada 44 sen sementara VSolar tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 66.92 mata kepada 11,929.62, FBMT 100 meningkat 65.29 mata kepada 11,573.09, FBM Emas Syariah menokok 91.17 mata kepada 13,314.28, FBM ACE mengembang 84.90 mata kepada 10,013.99 dan FBM 70 naik 0.59 mata kepada 15,856.73.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata kepada 193.7, Indeks Perladangan turun 10.45 mata menjadi 6,976.15 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 75.45 mata kepada 15,288.90.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat