Tony Fernandes: ‘Si Gila’ Yang Membina Empayar AirAsia

1,113

Bagi yang belum tahu mengenai fakta ini, percaya tak Tony Fernandes membeli AirAsia hanya RM1 sahaja?

Bagaimana Fernandes membeli AirAsia pada harga yang murah? Kalau anda hendak tahu, kenalah baca artikel sampai habis ya.

Sebelum tu, mari kita selami sejarah ringkas mengenai siapakah Tony Fernandes ini.

Fernandes dilahirkan pada 30 April 1964 di Kuala Lumpur. Bapanya berasal dari India manakala ibunya berasal dari Melaka.

Ketika usia mudanya, Fernandes ini sering mengikuti ibunya menjual barangan Tupperware di parti-parti Tupperware.

Fernandes sewaktu kecil pernah beritahu kepada bapanya bahawa beliau ingin memiliki sebuah syarikat kapal terbang tetapi bapanya berkata sekiranya Fernandes menjadi penjaga pintu di Hotel Hilton sekali pun, bapa beliau sudah bangga.

Beliau bersekolah rendah di The Alice Smith School di Kuala Lumpur. Pada usia 12 tahun, Fernandes menyambung pelajaran di sekolah berasrama Epsom College di England dari tahun 1976 hingga 1983.

Fernandes menamatkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang perakaunan di London School of Economics.

Sewaktu di England, beliau sering berdepan masalah untuk pulang ke Malaysia disebabkan kos harga tiket kapal terbang yang terlalu tinggi.

Beliau juga yakin tidak ramai orang Malaysia mampu untuk menaiki kapal terbang kerana kosnya yang mahal.

Sejak dari itu, Fernandes menanam hasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan tambang murah untuk rakyat Malaysia.

Selepas menamatkan pengajian di LSE, Fernandes bekerja di Virgin Airlines sebagai juruaudit pada 1987 dan kemudiannya bekerja sebagai pengawal kewangan di Virgin Records dari 1987 sehingga 1989.

Pada usianya 27 tahun, Fernandes balik ke tanah air dan menjadi pengarah urusan termuda di Warner Music (Malaysia).

Kemudian, dari tahun 1999 hingga 2001, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Wilayah Asia Tenggara bagi Warner Music.

Sewaktu Time Warner Inc bergabung dengan America Online, Fernandes mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menubuhkan syarikat kapal terbang.

Ketika ingin menubuhkan AirAsia, Fernandes dibawa berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui pertolongan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna iaitu Datuk Pahamin A. Rejab pada Oktober 2001.

Bagaimanapun Tun Dr. Mahathir pada masa itu memberitahu kepada Fernandes bahawa kerajaan tidak akan mengeluarkan lesen untuk syarikat kapal terbang lagi dan sekiranya mahu, Fernandes perlu membeli syarikat penerbangan yang sedia ada di negara ini.

Sewaktu itu, hanya ada dua syarikat penerbangan yang berpotensi iaitu Pelangi Air dan AirAsia yang dikendalikan oleh DRB Hicom.

Fernandes pun mengambil alih AirAsia pada harga RM1 namun syarikat tersebut pada ketika itu mempunyai hutang sebanyak RM40 juta selain hanya memiliki dua buah pesawat dan 254 kakitangan sahaja.

Industri penerbangan pada masa itu terjejas teruk disebabkan oleh insiden pengganas di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Ekoran insiden itu, orang ramai enggan menaiki kapal terbang kerana bimbang kejadian serupa akan menimpa diri mereka sendiri.

Fernandes bagaimanapun memberanikan diri dan mengambil risiko membeli AirAsia sehinggakan digelar sebagai gila kerana melakukan bisnes yang terang-terang sekali akan menyebabkan beliau mengalami kerugian.

Malahan AirAsia ketika itu dijangka bankrap pada bila-bila masa sahaja.

Selain itu, nilai sewa kapal terbang juga menurun sebanyak 40% dan ramai pekerja yang berpengalaman berhenti kerja.

Tetapi Fernandes melihat situasi itu sebagai satu peluang dan melantik mereka yang diberhentikan di syarikat penerbangan lain untuk bekerja dengannya.

Hasilnya, Fernandes berjaya membuktikan tanggapan orang terhadapnya salah apabila selepas setahun, AirAsia mampu menyelesaikan kesemua hutangnya.

Langkah Fernandes menyusun semula organisasi AirAsia dengan imej dan konsep yang baharu membuatkan syarikat tersebut dapat menjana keuntungan dalam tempoh singkat.

Pada November 2004, harga saham terbitan (IPO) AirAsia menerima lonjakan permintaan sebanyak 130%.

Fernandes mendapat inspirasi untuk memulakan konsep penerbangan tambang murah menerusi RyanAir iaitu syarikat penerbangan Ireland yang menjalankan konsep sedemikian.

50% daripada pelanggan kapal terbang tambang murah adalah golongan yang baru pertama kali menaiki kapal terbang.

Sebelum AirAsia memperkenalkan konsep tambah murah, Fernandes mendapati hanya 6% daripada populasi penduduk Malaysia yang pernah menaiki kapal terbang.

Meskipun penubuhan syarikat ini sangat berisiko pada awalnya, kini AirAsia telah melonjakkan nama Malaysia di peringkat global.

Malahan AirAsia pernah dinobatkan sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia sebanyak 9 kali berturut-turut.

Kini, AirAsia memiliki 260 pesawat dan mempunyai lebih 100 juta orang pelanggan di seluruh dunia.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat