Emas kembali meraih pengukuhan susulan kemerosotan US dolar ketika para pelabur menantikan keputusan rasmi pilihan raya di Georgia yang akan menentukan kuasa dalam Senat Amerika Syarikat.
Pada awal sesi Eropah, emas didagangkan meningkat pada $1,947 per auns, sementara niaga hadapan emas pula stabil pada $1,951 per auns (3.15 petang waktu Malaysia).
Logam berharga itu kekal didagangkan kukuh selepas melonjak ke paras ketinggian 8 minggu pada paras harga $1,955 per auns ketika sesi Asia.
Menurut laporan terbaru oleh NBC News, Rapahel Warnock dari parti Demokrat mendahului Kelly Loeffler dari Republik dengan 97% undian. Sementara pengiraan undian antara Jon Ossoff (D) dan David Perdue (R) pula masih dijalankan dengan persaingan masing-masing dilihat sangat sengit.
Sekiranya Demokrat memenangi kedua-dua kerusi dalam pilihan raya ini, ia akan membuka jalan buat parti itu menguasai Senat dan memudahkan lebih banyak langkah rangsangan dilaksanakan di bawah pimpinan Presiden Joe Biden.
Sementara itu, dolar greenback terus menjunam ke paras terendah terbaru sejak April 2018 berbanding kebanyakan matawang utama meskipun dengan lonjakan dalam hasil perbendaharaan AS.