Trump Bakal Libatkan Kanada Dalam Rundingan Dagang Bersama China

369

Amerika Syarikat dilaporkan akan kembali meneruskan rundingan dagang bersama China pada persidangan para pemimpin negara G20 pada minggu hadapan di Osaka, Jepun.

Dalam pertemuan yang bakal berlangsung bersama Presiden China, Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis mengatakan bahawa beliau bersedia untuk membangkitkan kembali kes dua warga Kanada yang ditahan oleh Beijing sebelum ini dan tindakan tersebut berpotensi untuk meredakan ketegangan yang berlaku antara Kanada dan China.

Trump membuat kenyataan tersebut sebelum pertemuan bersama Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau di White House. Trudeau berkata beliau akan meluangkan suatu tempoh masa perbincangan bersama Trump selepas ini selepas menjangkakan Presiden Amerika Syarikat dan China akan mengadakan perbincangan pada persidangan di Jepun minggu hadapan.

Trudeau mahukan tindakan lebih lanjut oleh Washington untuk menyelesaikan krisis yang berlaku susulan penahanan eksekutif syarikat teknologi gergasi China, Huawei Technologies Co Ltd oleh pihak berkuasa Kanada di atas waran Amerika Syarikat di Vancouver Disember tahun lalu.

Trump dijadualkan bertemu Presiden Xi untuk membincangkan isu perang dagang yang berlarutan antara dua negara itu dan berkemungkinan isu Huawei akan menjadi sebahagian daripada agenda rundingan. China sebelum ini telah mendakwa dua warga Kanada mengintip dan juga telah menghalang import benih canola dan daging khinzir dari Kanada.

Trump berkata beliau akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk membantu Kanada. Hubungan antara dua pemimpin negara itu dilihat kembali semakin pulih dan akrab selepas ketegangan sejak Jun 2018 di mana Trump pernah melabelkan pemimpin Kanada lemah dan tidak jujur.

Selain itu, cabaran lain dalam isu perdagangan yang perlu dihadapi oleh Trump adalah ratifikasi perjanjian perdagangan baru yang ditandatangani bersama Mexico dan Kanada bagi menggantikan perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara (NAFTA) sebelum ini. Ia sangat penting bagi Mexico dan Kanada di mana kedua-dua negara tersebut menyumbang sehingga 75% kadar eksport barangan mereka ke Amerika Syarikat.

Perjanjian tersebut dirundingkan pada tahun 2017 dan 2018 selepas Trump berulang kali mengugut untuk berundur diri dari perjanjian NAFTA jika beliau tidak mendapatkan perjanjian perdagangan yang lebih baik untuk Amerika Syarikat.

Terus pantau perkembangan perdagangan global di mana rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China pada minggu hadapan akan menjadi tumpuan utama pemain pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat