Trump Masih Boikot Huawei Dan ZTE Group?

384

Semalam, Presiden Donald Trump telah memutuskan untuk melanjutkan lagi perintah eksekutif yang ditandatangani pada bulan Mei 2019 dalam tempoh masa setahun. Melalui perintah tersebut, beliau telah mengisytiharkan darurat nasional dan melarang syarikat Amerika Syarikat menggunakan peralatan telekomunikasi yang dibangunkan oleh mana-mana syarikat yang berisiko menggugat keselamatan negara.

Perintah tersebut adalah berdasarkan Undang-undang Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa, yang memberikan kuasa kepada pemerintah negara untuk mengatur perdagangan sebagai tindak balas terhadap keadaan darurat nasional yang mengancam Amerika Syarikat. Menurut anggota parlimen Amerika Syarikat, perintah yang ditandatangani itu ditujukan khas kepada 2 buah syarikat teknologi China iaitu Huawei Technologies dan ZTE Group.

Namun begitu, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat pula didakwa akan melanjutkan lesen yang sepatutnya tamat pada Jumaat ini, bagi membenarkan syarikat teknologi negara berkenaan terus berurusniaga dengan Huawei. Sebelum ini, jabatan berkenaan telah pun melanjutkan lesen itu hingga 1 April.

Pada bulan Mac yang lalu, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat turut meminta pandangan orang ramai berkenaan isu perlanjutan lesen tersebut. Sehubungan dengan itu, Persatuan Perdagangan Tanpa Wayar (CTIA) telah bertindak mendesak jabatan itu untuk melanjutkan lesen itu untuk jangka masa panjang. Hal ini demikian kerana, potensi Huawei yang dilihat dapat memberikan manfaat yang berterusan kepada semua pengguna di Amerika Syarikat bahkan menguntungkan negara berkenaan.

Di samping itu, organisasi itu juga meminta Commerce untuk menggubal semula undang-undang yang membolehkan kedua-dua buah negara bekerjasama dalam pembangunan standard telekomunikasi global.

Walau bagaimanapun, Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat dan Huawei enggan memberikan sebarang maklum balas berkenaan isu tersebut.

Untuk pengetahuan semua, Huawei telah disenarai hitamkan oleh Amerika Syarikat pada Mei 2019, kerana bimbang akan isu keselamatan negara.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat