Trump Menyatakan Amerika Syarikat Tidak Bersedia Untuk Berunding Dengan China

500

Dolar Amerika Syarikat menunjukkan kenaikan pada nilai dagangan Selasa berbanding matawang utama yang lain didorong oleh kebimbangan politik dan perdagangan yang terus mengekalkan risiko pada sentimen pasaran selain data keyakinan pengguna yang kukuh.

Presiden Donald Trump ketika persidangan di Tokyo telah membuat kenyataan bahawa Amerika Syarikat belum bersedia untuk membuat rundingan perdagangan bersama China buat masa ini walaupun China bersedia untuk meneruskannya. Beliau menambah lagi, kadar tarif terhadap produk import China berkemungkinan akan dinaikkan lagi selepas ini.

Kadar keyakinan pengguna di Amerika Syarikat pada data yang dikeluarkan semalam menunjukkan peningkatan angka bacaan kepada 134.1 mata berbanding jangkaan kenaikan 130.1 oleh pasaran daripada bacaan terdahulu iaitu pada 129.2 mata. Angka bacaan tersebut juga adalah yang tertinggi dicatatkan sejak November tahun lalu.

Matawang safe-haven Yen pula tidak menunjukkan pergerakan yang ketara selepas Presiden Donald Trump berkata beliau menjangkakan Jepun dan Amerika Syarikat akan mengumumkan perjanjian perdagangan “berkemungkinan pada Ogos” nanti berhubung lawatan ke Tokyo beliau minggu ini.

Perkembangan di Eropah, pelabur sedikit lega dengan keputusan pilihanaraya parlimen Eropah yang memihak kepada kumpulan parti pro-EU yang meraih kemenangan majoriti undian. Namun dagangan Euro mencatatkan penurunan disebabkan faktor kebimbangan pada ekonomi masa hadapan Kesatuan Eropah ekoran parti-parti sayap-kanan dan euroskeptik turut menguasai sebahagian kerusi di parlimen.

Manakala Pound Sterling masih didagangkan lemah di sekitar paras terendah empat bulan pada dagangan semalam berikutan keputusan pilihanraya parlimen Eropah dilihat bakal menaikkan semangat penyokong ‘no-deal’ Brexit dengan usaha untuk menggantikan jawatan Perdana Menteri Britain yang disandang oleh Theresa May sebelum ini.

Susulan pengumuman peletakan jawatan Theresa May sebagai Perdana Menteri, Menteri Luar Jeremy Hunt berkata situasi ‘no-deal’ Brexit akan membunuh politik Britain, namun calon yang dikaitkan sebagai pengganti May iaitu Boris Johnson menyatakan keyakinan beliau untuk bersiap-sedia jika Brussels tidak membuka semula rundingan perjanjian pengunduran Britain dari Kesatuan Eropah.

Dengan ketidaktentuan politik yang melanda ini, Sterling terus kekal berisiko dan dilihat telah mencatatkan penurunan untuk tiga minggu dagangan berturut-turut berbanding USD dan Euro.

Beralih pada matawang komoditi, dagangan dolar New Zealand bakal disokong oleh data tinjauan keyakinan perniagaan yang dikeluarkan pada sesi Asia hari ini dimana angka bacaan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding bacaan sebelumnya.

Dolar Kanada pula didagangkan lebih berwaspada oleh para pelabur menjelang mesyuarat dasar monetari oleh bank pusat dan keputusan akan dikeluarkan pada jam 10 malam ini. Jangkaan kadar faedah akan terus dikekalkan di paras 1.75% seperti sebelum ini namun komen susulan oleh Gabenor akan menjadi tumpuan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat