Tujuh Entiti Terima Amaran SC

2,994

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan tujuh pengendali yang terdiri daripada entiti dan individu yang berkaitan untuk menghentikan serta menamatkan semua aktiviti yang berkaitan dengan nasihat pelaburan yang tidak berlesen.

Pengawalselia itu berkata, perintah henti dan hindar tersebut dikeluarkan berikutan pemerhatian SC bahawa pengendali ini menjalankan perniagaan memberi nasihat mengenai sekuriti atau derivatif termasuk memberikan cadangan pelaburan saham-saham setelah pembayaran dibuat.

Tujuh pengendali dan penasihat tidak berlesen itu ialah Don Trader / DT Academy Sdn Bhd; Engineer Saham / Ergonamos Marketing – Mohd Faizal Bin Raihan; Felix Consulting; Lifestyle Trading Masterclass / LTM Tech – Jeremy Looi Chee Keong; One Stock Centre / Stock Advisor / The SuperInvestor / SA Expert Consultancy – Logeswaran Balasubramaniam; Serikandi Saham / Thoriq Legacy Sdn Bhd – Fatin Fatini Ismad dan Teknik Saham – Fazlisyam Md Isa.

“Aktiviti ini biasanya dijalankan dalam kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan melalui Telegram, Whatsapp dan Facebook,” ujarnya dalam kenyataan hari ini seperti dipetik oleh Bernama.

Menurut SC, menyediakan nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia yang memerlukan lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

“Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan yang menyediakan nasihat pelaburan tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah CMSA yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

Sementara itu, SC turut memberi amaran kepada pengendali webinar, seminar, media sosial dalam talian dan bilik sembang aplikasi pesanan yang lain agar berhenti menjalankan aktiviti nasihat pelaburan tanpa lesen.

“SC memantau rapi perkara ini dan sekiranya perlu, kami akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sekuriti,” ujarnya.

Pengawalselia berkenaan juga menggesa orang ramai agar melaporkan kepada SC sekiranya mereka dihubungi oleh individu tidak berlesen yang menawarkan nasihat pelaburan modal di [email protected] atau hubungi talian +603-6204 8999.

“Walaupun SC menjalankan pemantauan internet secara proaktif untuk membendung kegiatan tidak sah dalam pasaran modal haram yang dijalankan melalui media sosial, orang ramai juga diingatkan untuk berwaspada dan berhati-hati terhadap risiko mengambil bahagian dalam mana-mana skim pelaburan kerana mereka boleh ditipu atau dipergunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran,” menurut SC.

SC berkata pelabur hendaklah mengesahkan lesen atau pendaftaran individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan.

“Ini termasuk pemberian nasihat pelaburan,” jelasnya.

Ujar SC, semakan boleh dibuat melalui laman web SC di Daftar Umum Pemegang Lesen, www.sc.com.my/licensed-registered-persons dan Senarai Pengendali Pasaran Diiktiraf yang diiktiraf, www.sc.com.my/rmo.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat