Ucapan Jerome Powell Bakal Beri Impak Besar Terhadap Pasaran

717

Setakat sesi pasaran Eropah hari ini, dagangan dolar Euro mencatatkan penurunan sementara dolar Amerika Syarikat kekal stabil menjelang ucapan Pengerusi Federal Reserve Jerome Powell pada malam ini di Jackson Hole, Wyomin dengan persoalan sama ada bank pusat akan terus menurunkan kadar faedah atau sebaliknya.

Pasaran matawang untuk beberapa bulan ini dipandu oleh perubahan dalam penetapan bank pusat global ke arah pelonggaran polisi berikutan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kebimbangan terhadap ketegangan perang dagang.

Jangkaan untuk Fed menurunkan kadar faedah untuk mesyuarat September masih lagi tinggi namun pasaran dilihat akan memberi reaksi terhadap komen Powell sama ada menepati jangkaan dovish ataupun tidak.

Seperti keputusan mesyuarat polisi terbaru, Fed telah menurunkan kadar faedah tetapi Powell menjelaskan bahawa tindakan penurunan kadar tersebut bulan sebagai permulaan ke arah penurunan kadar seterusnya yang lebih besar.

Keputusan bank pusat tersebut juga telah mengundang kemarahan Presiden AS Donald Trump yang mengkritik penetapan polisi oleh Fed tidak membantu menyokong kestabilan ekonomi Amerika Syarikat dan juga nilai matawang USD.

Jika sebarang komen dilihat bakal menggugat sentimen pasaran, matawang safe-haven Yen dan Swiss franc dijangka akan kembali mengukuh semula ekoran permintaan terhadap aset lebih selamat akan menjadi tarikan pelabur.

Matawang komoditi dolar Australia masih kekal bergerak lemah dalam pasaran dan begitu juga dolar Kanada yang digerakkan oleh sentimen pasaran minyak mentah yang agak tidak menentu.

Sementara dagangan dolar New Zealand sejak sesi Asia hari ini mencatatkan sedikit pengukuhan dengan data jualan runcit yang positif. Selain itu, bank pusat New Zealand juga menyatakan kadar faedah terkini adalah bersesuaian untuk kestabilan ekonomi buat masa ini. Hal ini telah mengurangkan jangkaan terhadap penurunan kadar lebih rendah untuk mesyuarat polisi monetari yang seterusnya.

Kekal berwaspada terhadap pergerakan pasaran yang dijangka terkesan dengan impak besar oleh kenyataan Jerome Powell pada malam ini. Pelabur menantikan petunjuk penting terhadap hala tuju polisi monetari Fed yang turut mempengaruhi pergerakan matawang dolar USD pada minggu berikutnya.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat