UK Pertimbang Lockdown Di London – Apa Reaksi Pound Sterling?

583

Pembukaan sesi pasaran Eropah memperlihatkan matawang pound sterling didagangkan stabil berbanding US dolar ketika pasaran menantikan perkembangan lanjut dalam perbincangan mengenai pakej rangsangan Covid-19 baru oleh Kongres AS.

Pound, antara matawang utama yang mempamerkan prestasi terbaik pada minggu lalu, dengan keuntungan yang diperoleh disokong oleh data ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan dan juga diangkat oleh harapan terhadap pembangunan positif vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, kebangkitan semula US dolar pada pembukaan dagangan awal Ogos telah mendorong penyusutan matawang itu, sebelum ia kembali meraih pengukuhan ekoran kemerosotan raja matawang itu hari ini.

Walaupun tiada isu utama yang perlu diperhatikan pada sesi dagangan hari ini, perkembangan mengenai Brexit, Covid-19 dan rangsangan fiskal AS akan tetap menjadi fokus pasaran.

Terbaru, UK dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan di ibu kota London dan memerintahkan penduduk yang berisiko untuk tinggal di rumah bagi membendung penularan Covid-19 yang telah menunjukkan lonjakan kes kebelakangan ini. Namun begitu, laporan ini dilihat gagal memberi tekanan kepada dagangan pound sterling.

Sementara itu mengikuti perkembangan Brexit, Kesatuan Eropah (EU) dikatakan bersedia untuk berkompromi dalam rundingan dengan permintaan Britain untuk mempertimbangkan perlaksanaan peraturan EU pada masa akan datang.

Dalam pada itu, mesyuarat polisi Bank of England (BOE) yang dijadualkan berlangsung pada lewat petang Khamis minggu ini (waktu Malaysia) akan menjadi perhatian pasaran seterusnya.

Walaupun tiada perubahan kadar faedah dijangkakan, namun tumpuan akan disasarkan kepada petunjuk oleh bank pusat mengenai pelaksanaan kadar faedah negatif.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat