Ulasan Penggerak Pasaran Forex Minggu Ini (03-07 April)

89

Us dolar muncul sebagai juara dalam dagangan minggu ini yang boleh dianggap agak tegang. Ini merupakan minggu kedua US dolar mencatat rekod positif berbanding enam matawang utama dunia yang lain.

Minggu ini agak mengecewakan di mana laporan pekerjaan NFP mengejutkan pasaran dengan data yang jauh lebih rendah dari jangkaan. Namun data kali ini dianggap tidak memberi kesan yang banyak kepada The Fed dengan andaian ekonomi masih dalam ‘full-employment‘ (gunatenaga-penuh) dengan kadar pengangguran semakin baik di paras 4.5%.

Serangan Amerika Syarikat pada Jumaat mencetuskan sentimen ‘risk-off‘ yang membawa kepada ‘safe haven flow‘ (aliran dana kepada instrumen safe-haven) seperti matawang Yen dan emas. Serangan tersebut sebagai tindak balas Amerika Syarikat kepada kerajaan Syria yang menggunakan senjata kimia terlarang.

Dengan jumlah dagangan yang sedikit pada Jumaat telah menyebabkan Usd/Jpy jatuh ke paras terendah 110.00 dalam sesi Asia.

Pada Isnin 3 April, Penguatan US dolar masih di tahap minimum dan hasil bon global yang berada di paras rendah telah memberi sokongan kepada emas, dengan pergerakan pasaranyang minimum ketika itu sementara menunggu berita-berita yang menggerakkan pasaran.

Pada Selasa 4 April, Data import Amerika Syarikat dari China merekodkan bacaan terendah di mana lapan negeri di AS merekod lebihan dagangan dengan China. China juga menjadi pembeli terbesar minyak mentah dari AS yang menggambarkan langkah awal China bagi memujuk AS.

Sesi dagangan Rabu menunjukkan data petunjuk ADP-NFP yang menjadi perhatian pasaran pada hari tersebut melebihi jangkaan dalam jumlah besar. Namun data sebenar NFP agak mengejutkan dan diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada ADP sebagai satu-satunya petunjuk.

Dalam sesi dagangan Khamis, Ahli FOMC dilihat berbeza pendapat sama ada pengukuhan inflasi memerlukan kenaikan kadar faedah yang lebih pantas atau kenaikan secara berperingkat. Perhatian pasaran dalam minit mesyuarat tersebut berfokus kepada pengurangan penyata imbangan (balance sheet).

Tidak lupa juga komen dovish Draghi pada Khamis yang menambah kelemahan matawang Euro. Draghi mengatakan tiada keperluan untuk mengubah kenyataan polisi ECB, termasuk pembelian bon sehingga penghujung tahun ini dan juga kadar faedah terendah, sehingga inflasi mencapai paras yang memberangsangkan.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

27 – 31 Mac 2017 03 – 07 April 2017
Eur/Usd– jatuh 255 pip Eur/Usd- jatuh 109 pip
Usd/Jpy– 209 pip volatile Usd/Jpy– volatile 146 pip
Gbp/Usd– 239 pip volatile Gbp/Usd– jatuh 191 pip
Usd/Chf- naik 218 pip Usd/Chf- naik 88 pip
Usd/Cad– 137 pip volatile Usd/Cad– naik 161 pip
Aud/Usd– 92 pip volatile Aud/Usd– jatuh 146 pip
Nzd/Usd– 93 pip volatile Nzd/Usd– jatuh 93 pip

Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat ulasan kalendar ekonomi utama sepanjang minggu ini.

  • Jualan Runcit Australia (Isnin)

Data jualan runcit Australia susut 0.1% pada Februari. Jangkaan pasaran bagi data kali ini adalah peningkatan 0.3% yang jauh lebih tinggi dari data sebenar. Manakala dalam data berasingan yang dikeluarkan, Institut Melbourne melaporkan indeks inflasi bulanan meningkat 0.1% pada Mac yang merupakan kenaikan ke tujuh dari lapan bulan sebelum ini.

  • PMI Sektor Pembuatan UK (Isnin)

Indeks pembuatan UK (UK Markit PMI Manufacturing Index) susut kepada 54.4 pada Mac dari 54.5 pada Februari yang telah dikaji semula. Bacaan kali ini kurang dari jangkaan 54.6 dan merupakan bacaan terendah dalam masa empat bulan. Peningkatan pengeluaran semakin perlahan ke paras rendah lapan bulan lalu yang disebabkan kelemahan dalam barangan pengguna. Namun, terdapat bukti peningkatan dalam pelaburan dan barangan perantaraan.

  • ISM Sektor Pembuatan AS (Isnin)

Data sektor pembuatan AS (US ISM manufacturing index) susut kepada 57.2 dari 57.7 sebelum ini. Jangkaan pasaran bagi data kali ini ialah 57.2 yang sejajar dengan bacaan Mac. Indeks pekerjaan mengukuh mendadak kepada 58.9 dari 54.2. Bacaan keseluruhan ISM akan melonjakkan keyakinan dalam tren sektor pembuatan dan mengekalkan The Fed di landasan yang betul untuk kenaikan kadar tahun ini.

  • Imbangan Perdagangan Australia (Selasa)

Lebihan perdagangan (trade surplus) ekonomi Australia meningkat lebih dari jangkaan pada Februari dengan penyusutan import dan eksport yang semakin meningkat. Trade surplus Australia mencatatkan A$3.57 billion pada Februari naik dari A$1.5 billion lebihan pada bulan sebelum, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Statistik pada Selasa. Jangkaan bagi data kali ini ialah lebihan dagangan meningkat kepada A$1.8 billion.

  • Penetapan Kadar Australia (Selasa)

Ahli-ahli Bank Pusat mengundi untuk mengekalkan kadar faedah di paras 1.50% dalam mesyuarat kali ke-tujuh kadar ini dikekalkan. Secara keseluruhan kadar 1.50% telah dikekalkan dalam lapan mesyuarat sebelum ini. Inflasi masih agak rendah. Inflasi utama dijangka akan meningkat sepanjang tahun 2017 sehingga melebihi 2 peratus. Kenaikan dalam inflasi juga dijangka secara berperingkat dengan pertumbuhan gaji pekerja masih perlahan,” kata bank pusat.

  • PMI Sektor Pembinaan UK (Selasa)

Bacaan susut kepada 52.2 pada Mac dari 52.5 pada bulan sebelum. Bacaan kali ini di bawah jangkaan pasaran 52.4. Data PMI di UK setakat ini akan mengekalkan jangkaan pertumbuhan ekonomi UK yang semakin perlahan dalam jangka pendek.

  • Imbangan Perdagangan Kanada (Selasa)

Akaun perdagangan Kanada merekodkan defisit (kurangan) sebanyak C$0.97 billion pada Februari berbanding tiga bulan sebelum ini yang mencatatkan lebihan. Januari mencatatkan lebihan C$0.4 billion, manakalan jangkaan pasaran kali ini ialah lebihan dagangan sebanyak C$0.5 billion. Bank pusat Kanada (Bank of Canada, BoC) sebelum ini agak bimbang dengan trend eksport negara ini dan data terkini sudah tentu meningkatkan kebimbangan mereka.

  • Markit PMI Sektor Perkhidmatan UK (Rabu)

PMI sektor perkhidmatan UK mengukuh kepada 55.0 pada Mac dari 53.3 yang direkodkan pada Februari. Bacaan kali ini lebih tinggi dari jangkaan pasaran 53.5 dan merupakan bacaan yang tertinggi dalam masa tiga bulan selepas bacaan Februari mencecah paras terendah lima bulan lepas. Menurut Markit, data secara keseluruhan masih menunjukkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada suku pertama 2017. Walaubagaimanapun, Bank of England (BoE) akan meneliti peningkatan mendadak dalam harga pengeluaran yang berpotensi memberi tekanan kenaikan kepada inflasi.

  • ADP NFP Amerika Syarikat (Rabu)

Tambahan pekerjaan di luar jangkaan sebanyak 263,000 pekerjaan baru dalam sektor swasta. Bacaan kali ini lebih daripada jangkaan sebanyak 184,000 dan data bulan sebelum iaitu 248,000 yang telah dikaji semula dari 298,000 yang dilaporkan bulan lalu.

  • ISM Sektor Pekhidmatan AS (Rabu)

Aktiviti dalam sektor perkhidmatan Amerika Syarikat jatuh lebih banyak dari jangkaan pada Mac. Dalam laporan tersebut, Institute Supply Management (ISM) menyatakan indeks PMI sektor perkhidmatan jatuh kepada 55.2 pada Mac dari 57.6 sebelum ini. Jangkaan pasaran bagi data kali ini ialah 57.0. Indeks pekerjaan turut jatuh kepada 51.6 dari 55.2. Manakala indeks harga jatuh kepada 53.5 dari 57.7.

  • Minit Mesyuarat The Fed (Khamis)

Minit mesyuarat FOMC mendedahkan majoriti ahli-ahli jawatankuasa bank pusat berpendirian ekonomi hanya berubah sedikit sejak mesyuarat Januari dengan pasaran pekerjaan yang semakin kukuh dan juga peningkatan inflasi ke paras sasaran. Ahli FOMC dilihat berbeza pendapat sama ada pengukuhan inflasi memerlukan kenaikan kadar faedah yang lebih pantas atau kenaikan secara berperingkat.

  • Ucapan Draghi (Khamis)

Draghi berpendirian tiada keperluan untuk mengubah kenyataan polisi ECB, termasuk pembelian bon sehingga penghujung tahun ini dan juga kadar faedah terendah, sehingga inflasi mencapai paras yang memberangsangkan, katanya pada Khamis.

  • Jumlah Tuntutan Pengangguran (Khamis)

Pengurangan jumlah tuntutan faedah/insurans pengagguran (Jobless claims) sebanyak 25,000 tuntutan kepada 234,000 bagi minggu berakhir pada 31 Mac berbanding minggu sebelum itu yang mencatatkan jumlah 259,000 tuntutan yang telah dikaji semula.

  • Pengeluaran Sektor Pembuatan (Jumaat)

Sterling jatuh berbanding US Dollar pada hari Jumaat selepas pengumuman data yang mengecewakan dari UK. Pejabat Statistik Kebangsaan UK melaporkan bahawa pengeluaran perkilangan menjunam sebanyak 0.1 peratus pada bulan Februari berbanding jangkaan peningkatan sebanyak 0.2 peratus.

  • Data Pekerjaan NFP (Jumaat)

Data NFP hanya meningkat sebanyak 98,000 pada Mac dengan jangkaan pasaran jauh lebih tinggi sebanyak 174,000. Penambahan jumlah pekerjaan pada Februari dikaji semula kepada 219,000 dari 235,000 yang dilaporkan sebelum ini.

Kadar pengangguran pula berkurangan kepada 4.5% dari 4.7% sebelum ini, di mana peratusan pencari pekerjaan kekal di paras 63%.

Average hourly earnings (purata gaji per jam) yang menjadi data penting kekal di paras 0.2% pada tempoh sama dengan kenaikan tahunan setakat ini mencecah 2.7% sejajar dengan jangkaan pasaran.

  • Data Pekerjaan Kanada (Jumaat)

Jumlah pekerjaan di Kanada meningkat sebanyak 19,400 pada Mac berbanding 15,300 yang direkodkan sebelum ini, di mana data kali ini lebih dari jangkaan pasaran 5,700. Bacaan kali ini lebih dari jangkaan pasaran buat kali ke lapan, menunjukkan pasaran pekerjaan yang semakin kukuh. Namun, kadar pengangguran naik kepada 6.7% dari 6.6% yang sejajar dengan jangkaan pasaran.

Komponen data penting iaitu pekerjaan sepenuh masa meningkat sebanyak 18,400 pada tempoh sama dengan kenaikan yang kecil dalam pekerjaan separuh masa sebanyak 1,000.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat