Matawang didagang dalam keadaan volatile dan bercampur-campur dalam minggu terakhir suku pertama tahun 2017. Minggu ini merupakan minggu bersejarah untuk Brexit dengan kerajaan UK memulakan prosess rasmi keluar dari Kesatuan Eropah yang akan memakan masa sehingga dua tahun.
US dolar dilihat mendapat momentumnya semula minggu ini dan menghentikan kerugian selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini yang banyak disokong oleh komen-komen sedikit ‘hawkish‘ dari ahli FOMC dan juga data-data ekonomi yang positif.
Antara ahli FOMC yang memberi komen minggu ini ialah William Dudley, Evans, Kashkari, Kaplan, Loretta Esther, Rosengren. Walaupun pendirian mereka masih sejajar dengan jangkaan tiga kali kenaikan kadar tahun ini, namun mereka tidak menolak kenaikan lebih dari tiga kali jika keadaan ekonomi terus membangun lebih dari ramalan.
Harga minyak mentah global kini didagang di atas $50 setong selepas jatuh di bawah paras tersebut. Secara umumnya, pasaran ini banyak dipengaruhi oleh sentimen lanjutan pemotongan selepas Jun dan juga data-data bekalan dari Amerika Syarikat.
Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.
20 – 24 Mac 2017 | 27 – 31 Mac 2017 |
Eur/Usd– Naik 106 pip | Eur/Usd- jatuh 255 pip |
Usd/Jpy– Jatuh 228 pip | Usd/Jpy– 209 pip volatile |
Gbp/Usd– Naik 196 pip | Gbp/Usd– 239 pip volatile |
Usd/Chf- Jatuh 120 pip | Usd/Chf- naik 218 pip |
Usd/Cad– 145 pip volatile | Usd/Cad– 137 pip volatile |
Aud/Usd– Jatuh 145 pip | Aud/Usd– 92 pip volatile |
Nzd/Usd– 96 pip volatile | Nzd/Usd– 93 pip volatile |
Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat ulasan kalendar ekonomi utama sepanjang minggu ini.
- Data IFO Jerman (Isnin)
Data Indeks iklim perniagaan Jerman (German IFO business climate index) mengukuh kepada 112.3 pada Mac dari 111.0 sebelum ini dan juga melebihi jangkaan pasaran 111.1. Bacaan kali ini adalah yang tertinggi sejak Julai 2011 dengan keyakinan kepada ekonomi secara keseluruhan terus kukuh.
- Keyakinan Pengguna AS (Selasa)
Indeks keyakinan pengguna yang meningkat pada Februari ke paras tertinggi sejak 15 Tahun lepas pada Februari kali ini melonjak sekali lagi ke paras tertinggi 16 tahun lepas. Jika dilihat dengan laporan kali ini, khususnya sektor pekerjaan akan membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna beberapa bulan akan datang.
- Keyakinan Pengguna Zon-Eropah (Khamis)
Data keyakinan pengguna Zon-Eropah menguat kepada -5.0 pada Mac berbanding -6.2 sebelum ini yang semakin hampir dengan bacaan tertinggi dua tahun lepas. Indeks ini kekal baik di atas purata jangka panjang -12. Data terbaru ini terus menunjukkan trend yang kukuh dalam pasaran pekerjaan yang akan membantu keyakinan pengguna dalam jangka pendek.
- Pertumbuhan Ekonomi AS (Khamis)
Pertumbuhan ekonomi AS pada suku keempat dikaji semula kepada peningkatan 2.1% berbanding sebelum ini 1.9% yang mana lebih tinggi dari jangkaan pasaran 2.0%. Kejatuhan eksport yang merekodkan penyusutan 4.5% dan sumbangan negatifnya kepada pertumbuhan akan meningkatkan kebimbangan kepada pentadbiran Trump. Dalam konteks ini, pendirian ‘protectionism’ Trump berkemungkinan akan semakin meningkat.
- Tuntutan Pengangguran AS (Khamis)
Pengurangan jumlah tuntutan faedah/insurans pengagguran (Jobless claims) sebanyak 3,000 tuntutan kepada 258,000 bagi minggu berakhir pada 24 Mac berbanding minggu sebelum itu yang mencatatkan jumlah 261,000 tuntutan yang telah dikaji semula. Data yang dikeluarkan ini lebih tinggi dari jangkaan penganalisis sebanyak 244,000 jumlah tuntutan pengangguran.
- Harga Pengguna Zon-Eropah (Jumaat)
Harga pengguna Zon-Eropah (CPI-inflation) susut kepada 1.5% pada Mac dari 2.0% yang direkodkan pada Februari. Rekod kali ini di bawah jangkaan pasaran 1.8% dan merupakan bacaan terendah dalam jangka masa tiga bulan. Pasaran sebenarnya telah menjangkakan penyusutan inflasi selepas data inflasi Jerman juga menyusut pada Khamis diikuti juga dengan inflasi di Spanyol di bawah jangkaan pasaran.
- Pertumbuhan Ekonomi Kanada (Jumaat)
Pertumbuhan ekonomi Kanada pada Januari meningkat 0.6%, lebih tinggi dari jangkaan 0.3%. Kenaikan sebelum ini merekodkan pertumbuhan 0.3% pada Disember. Dolar Kanada menguat dengan Usd/Cad jatuh 60 pip selepas sejam data dikeluarkan.