Ulasan Penggerak Pasaran Minggu Ini (13-17 Mac)

58

Tema pergerakan pasaran minggu ini adalah ‘penetapan kadar bank pusat’ terutamanya The Federal Reserve. The Fed merupakan tumpuan utama pasaran minggu ini di mana bank pusat AS ini menaikkan kadarnya dari 0.75% kepada 1.00%. Ini merupakan kali ketiga The Fed menaikkan kadarnya sejak krisis kewangan 2008.

Kenaikan kadar ini sememangnya telah dijangka oleh pasaran dua minggu lepas lagi. Disebabkan hal ini, US dolar gagal menguat berikutan ramalan dua kali kenaikan lagi tahun ini. US dolar hanya akan menguat jika ada tiga kali kenaikan berbanding dua kali dalam unjuran The Fed.

Walaubagaimanapun, ia tetap satu pengetatan polisi oleh The Fed berbanding kebanyakan bank pusat yang melonggarkan polisi dan mengekalkan polisi akomodatif.

Perkembangan terbaru dari Eropah pula menyaksikan matawang Euro melemah dalam sesi akhir dagangan minggu ini berikutan Le Pen kembali mendahului tinjauan pendapat berbanding calon-calon lain Macron dan Fillon. Selain itu, terdapat berita yang mengatakan ECB berpotensi menaikkan kadarnya sebelum program pembelian bon berakhir tahun ini yang turut menyokong penguatan Euro minggu ini.

Di United Kingdom, PM Theresa May mendapat kuasa untuk memulakan proses formal Brexit yang dijangka akhir bulan ini. Matawang Pound menguat sepanjang minggu ini dan menjadi matawang paling banyak mendapat keuntungan berikutan perkembangan positif Brexit.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

06-10 Mac 2017 13-17 Mac 2017
Eur/Usd– Naik 174 pip Eur/Usd- Naik 182 pip
Usd/Jpy– Naik 196 pip Usd/Jpy–  Jatuh 263 pip
Gbp/Usd– Jatuh 167 pip Gbp/Usd– Naik 296 pip
Usd/Chf- 97 pip (volatile) Usd/Chf- Jatuh 175 pip
Usd/Cad– Naik 166 pip Usd/Cad– Jatuh 219 pip
Aud/Usd– 141 pip (volatile) Aud/Usd– Naik 185 pip
Nzd/Usd– Jatuh 155 pip Nzd/Usd–  Naik 156 pip

Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat ulasan kalendar ekonomi utama sepanjang minggu ini.

  • Data Pengeluaran Perindustrian China, Selasa

Aktiviti ekonomi China berkembang positif pada Januari dengan pengeluaran perindustrian dan pelaburan aset tetap meningkat lebih pantas yang menunjukkan bukti bahawa ekonomi kedua terbesar dunia ini masih stabil. Pengeluaran perindustrian yang dianggap sebagai petunjuk keseluruhan pengeluaran perkilangan, naik 6.3% dari tahun ke tahun.

  • Harga Pengeluar AS (PPI), Selasa

Harga pengeluar Amerika Syarikat meningkat 0.3% pada Februari berbanding 0.6% yang direkodkan sebelum ini. Bacaan kali ini juga lebih dari jangkaan kenaikan 0.1%. Data secara keseluruhan tidak akan mencetuskan kenaikan mendadak dalam inflasi dengan tekanan secara keseluruhan masih lagi terkawal ketika ini. Kejatuhan dalam harga gasolin juga akan menjadi faktor signifikan bagi menyerap tekanan kenaikan kepada harga pengguna (CPI) dan akan membantu mengurangkan kenaikan harga.

  • Data Pekerjaan UK, Rabu

Kadar pengangguran UK berkurangan ke paras terendah 11 tahun lepas dengan kadar kenaikan gaji semakin perlahan daripada jangkaan. Pejabat Statistik Kebangsaan menyatakan kadar pengangguran jatuh ke paras 4.7% kurang daripada jangkaan 4.8%. Claimant count yang mengira jumlah tuntutan faedah pengangguran pula berkurangan sebanyak 11,300 pada Februari berbanding jangkaan kenaikan sebanyak 3,200 dan data pada bulan sebelum sebelum yang merekodkan pengurangan 42,400. Manakala indeks purata pendapatan, termasuk bonus, meningkat sebanyak 2.2% dalam masa tiga bulan hingga Januari berbanding jangkaan peningkatan sebanyak 2.4%.

  • Data Inflasi US CPI, Rabu

Harga pengguna (CPI) Amerika Syarikat mengukuh pada Februari. Data CPI meningkat 2.7% pada Februari berbanding 2.5% yang direkodkan sebelum ini. Jika dibandingkan dengan Januari, harga pengguna meningkat 0.6% berbanding 0.1% yang dicatatkan kali ini. Core-inflation, CPI asas naik 2.2% dari tahun ke tahun. Data jualan runcit AS yang dikeluarkan pada masa sama juga masih menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam perbelanjaan pengguna walaupun ia tidak meningkat dengan lebih pantas.

  • Penetapan Polisi Monetari The Fed (fomc), Khamis

Fed telah menaikkan kadar untuk kali kedua dalam tempoh tiga bulan kerana didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh. Fed dikatakan menaikkan kadar berikutan prospek yang positif dari sektor buruh disamping peningkatan inflasi yang selari dengan sasaran bank pusat.

Dalam masa yang sama, Fed juga meletakkan unjuran kenaikan kadar sebanyak dua kali lagi tahun ini sementara tiga lagi pada tahun 2018.

  • Pertumbuhan Ekonomi N.Zealand Q4, Khamis

Ekonomi New Zealand berkembang dengan lebih perlahan dari jangkaan pada suku keempat 2016 yang menunjukkan isyarat bahawa ekonomi dipengaruhi oleh musim dan juga gempa bumi. Hal ini telah mengurangkan momentum negara perindustrian yang paling pesat membangun ini. Pertumbuhan ekonomi (GDP) meningkat 0.4% pada tempoh tersebut berbanding suku ketiga yang mencatatkan bacaan lebih tinggi iaitu 0.8% yang telah dikaji semula dari 1.1% yang dilaporkan sebelum ini.

  • Data Pekerjaan Australia, Khamis

Perkembangan ekonomi yang kurang memberangsangkan dicatatkan oleh Australia dengan data pekerjaan jatuh pada Februari dan juga penyusutan data inflasi. Jumlah pekerjaan secara keseluruhan berkurangan sebanyak 6,400 kepada 11,998,800 pada Februari berbanding bulan sebelum yang merekodkan kenaikan 13,500 pekerjaan. Jangkaan pasaran bagi data ini ialah kenaikan 16,300.

  • Penetapan Polisi Monetari Jepun, Khamis

Seperti dijangka, BoJ akan mengekalkan kadar faedah jangka pendek pada paras negatif 0.1 peratus selain mengekalkan bon kerajaan Jepun yang bernilai 80 Trillion Yen. Dalam satu kenyataan selepas pengumuman dasar, BoJ menilai ekonomi Jepun sedang memulih dalam trend yang sederhana.

Kuroda juga menegaskan bahawa tiada kenaikan kadar akan dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan kadar inflasi masih tidak menghampiri sasaran sebanyak 2 peratus. Namun begitu, ekonomi Jepun dilihat memperolehi manfaat daripada pemulihan permintaan global dengan peningkatan eksport dan pengeluaran kilang sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

  • Penetapan Polisi Monetari UK, Khamis

Dalam mesyuarat terbaru, Bank of England mengekalkan kadarnya di 0.25% sejajar dengan jangkaan pasaran. Ahli MPC (Monetary Policy Committee) mengundi 8-1 bagi mengekalkan kadar.

Kenyataan bank pusat menegaskan bahawa peningkatan kadar inflasi di atas sasaran ada hadnya. Inflasi ketika ini masih lemah dari jangkaan dan tekanan harga adalah bukti kadar inflasi akan terus bergerak ke arah 2% beberapa bulan akan datang.

Bank pusat juga menyatakan perbelanjaan pengguna semakin perlahan. Dalam konteks ini trend penurunan perbelanjaan menunjukkan kesan daripada kenaikan harga berikutan daripada kejatuhan nilai pound sterling.

  • Indeks Keyakinan Pengguna, AS, Jumaat

Keyakinan pengguna AS meningkat pada Mac yang dikeluarkan oleh University of Michigan. University of Michigan consumer confidence index meningkat kepada 97.6 berbanding jangkaan 97.0 dan bacaan sebelum ini 96.3. Jangkaan inflasi dalam masa setahun pula menurun kepada 2.4% dari 2.7% di mana penduduk menjangka harga akan menjadi semakin murah dalam amsa setahun. Ini agak mengejutkan dengan data rasmi menunjukkan tren kenaikan inflasi sejak beberapa bulan lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat