Ulasan Penuh Minit Mesyuarat FOMC, Usd/Jpy Bergerak Tidak Menentu

48

Minit mesyuarat menunjukkan kebanyakan pembuat polisi menyatakan data inflasi yang perlahan memberi sedikit kesan kepada trend pergerakan inflasi teras. Beberapa ahli juga melihat kenaikan harga import adalah konsisten dengan jangkaan bank pusat bahawa inflasi akan meningkat dalam jangka masa sederhana.

Sesetengah ahli mahu The Fed mula mengurangkan penyata imbangan yang termasuk pegangan aset bon kerajaan pada penghujung Ogos, tidak kurang juga yang mahu ia dimulakan pada akhir tahun ini.

“Majoriti ahli berpandangan kelemahan data inflasi banyak disebabkan oleh faktor tunggal, namun beberapa ahli juga bimbang jika perkara tersebut berterusan,” kata The Fed dalam minit tersebut.

Ahli juga mempersoalkan kenapa keadaan pasaran kewangan tidak mendapat kesan daripada kenaikan kadar faedah baru-baru ini di mana harga ekuiti kekal di paras tinggi.

Bulan lalu The Fed mengundi 8-1 untuk menaikkan kadar faedah daripada 1.00% kepada 1.25% yang merupakan kenaikan ketiga dalam tempoh enam bulan, yang menunjukkan isyarat keyakinan bank pusat terhadap perkembangan ekonomi.

Namun, petunjuk inflasi utama The Fed meleset semula kepada 1.4% pada Mei.

Dalam minit tersebut, sesetengah pembuat polisi mengatakan kelemahan inflasi menjadikan mereka tidak selesa dengan perancangan kenaikan kadar oleh The Fed.

Petunjuk data inflasi akan memainkan peranan penting sepanjang beberapa bulan akan datang, khususnya dengan data-data yang perlahan daripada jangkaan.

Selain itu, terdapat kebimbangan terhadap risiko yang berkembang akan mengganggu kestabilan pasaran kewangan.

Secara keseluruhan, minit mesyuarat ini menunjukkan FOMC akan meneruskan kenaikan kadar dan juga pengurangan penyata imbangan seawal September, khususnya dengan keyakinan bahawa kelemahan inflasi adalah sementara. Data-data terbaru inflasi adalah penting untuk diperhatikan khususnya bacaan CPI yang akan dikeluarkan minggu depan.

Pandangan yang bercampur-campur dalam kalangan ahli The Fed menyebabkan pergerakan pasaran tukaran matawang juga tidak menentu selepas laporan dikeluarkan. Usd/Jpy pada mulanya jatuh dan mengukuh seterusnya melemah semula selepas hampir dua jam laporan minit tersebut dikeluarkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat