Ulasan Penuh Penetapan Kadar UK Sebentar Tadi

41

Bank of England melalui Monetary Policy Committee (MPC) seperti yang kita tahu mengekalkan kadarnya sebentar tadi di paras 0.25% berikutan mesyuarat polisi yang dijalankan pada hari ini yang menepati jangkaan pasaran.

Undian penetapan kadar yang dibuat menunjukkan 0-0-9 undian dari ahli MPC. Untuk memahami format undian ini, nombor ‘0’ iaitu nombor pertama menunjukkan jumlah ahli MPC yang mengundi untuk menaikkan kadar, manakala ‘0’ di tengah menunjukkan jumlah ahli yang memilih untuk menurunkan kadar dan ‘9’ pula jumlah ahli yang mahu kadar dikekalkan. Majoriti ahli MPC memilih untuk pengekalan kadar 0.25%. Dalam program pembelian bon kerajaan pula turut dikekalkan sebanyak 435 billion Pound.

Data-data ekonomi menunjukkan aktiviti ekonomi masih meningkat dalam kadar sederhana yang disokong oleh peningkatan perbelanjaan. Jangkaan kepada situasi perniagaan di UK pula suram dan berkemungkinan aktiviti dalam perniagaan UK akan semakin perlahan. Kadar pengurangan kepada sektor ini akan banyak bergantung kepada perbelanjaan isirumah.

Sejak laporan inflasi pada November, Sterling telah pun meningkat nilai sebanyak 6%, manakala harga minyak dunia sudah naik sebanyak 14%. Kombinasi antara kedua-dua ini sepatutnya dapat menghalang inflasi dari terus naik di UK, tetapi kadar inflasi masih tetap dijangkakan meningkat lebih dari sasaran pada 2017 sehingga 2018.

MPC masih lagi mengulangi dan menegaskan peningkatan inflasi ada hadnya jika terus naik melebihi sasaran. Jangkaan inflasi dalam jangka masa sederhana masih lagi di bawah paras purata yang dicatatkan dalam bacaan lepas dan akan terus memerhatikan perkara ini.

MPC pada hari ini menegaskan sekali lagi mereka boleh memberikan respon sama ada melonggarkan (easing policy) atau mengetatkan polisi (tightening policy) bergantung kepada perubahan ekonomi dan terus komited untuk mencapai sasaran inflasi 2%.

Keseluruhannya, tindakan Bank of England hari ini menepati jangkaan dan pihak bank pusat akan terus menunggu data-data atau lebih bukti ekonomi dalam proses pembuatan keputusan polisi monetari UK. Mereka juga akan terus mengimbangi antara inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

Matawang GBP menyusut berbanding matawang utama dunia sejurus laporan dikeluarkan dengan Gbp/Usd jatuh dari 1.2496 ke paras 1.2450 semasa artikel ini ditulis.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat