Ulasan Pergerakan Pasaran Tukaran Matawang Sepanjang Minggu Ini (03-07 Julai)

60

US dolar membuat pemulihan dalam sesi dagangan sepanjang minggu ini selepas mencatat kerugian tiga minggu berturut-turut. US dolar paling terkesan pada minggu lalu apabila bank-bank pusat seperti ECB, BoE dan BoC memberikan komen hawkish terhadap polisi monetari.

Minggu ini tumpuan pasaran tertumpu kepada minit mesyuarat FOMC, penetapan kadar RBA dan data pekerjaan US, tidak lupa juga data-data PMI dari beberapa negara ekonomi utama.

Minit mesyuarat FOMC menunjukkan perbezaan pendapat dalam kalangan ahli-ahli Fed tentang perjalanan kenaikan kadar faedah tahun ini, walaupun secara keseluruhan masih menjangka satu lagi kenaikan pada 2017. Pengukuhan US dolar minggu ini terbantut sedikit disebabkan laporan tersebut dengan tiada panduan yang lebih jelas terhadap apa yang akan dilakukan oleh bank pusat beberapa bulan akan datang.

Data-data PMI juga tidak terkecuali daripada perhatian pasaran kepada negara seperti UK, China dan US. UK banyak melemah minggu ini dengan data PMI yang kurang memberangsangkan dan juga data pengeluaran industri yang lemah pada Jumaat.

Walaupun data-data US secara keseluruhan adalah baik dengan data tambahan pekerjaan yang lebih daripada jangkaan, tetapi keraguan adalah kepada kadar kenaikan gaji yang meleset dari jangkaan 0.3%. Walaubagaimanapun, ia tetap dilihat sebagai kenaikan pada Jun dengan data Mei dikaji semula kepada 0.1% dari 0.2%.

Euro dilihat terbeban dengan keraguan kepada pengurangan rangsangan walaupun minggu lalu Presiden Draghi memberikan komen yang membuka potensi kepada pengetatan polisi. Komen-komen dari ahli-ahli ECB memberi sedikit keraguan dengan komen yang berhati-hati terhadap pengetatan polisi.

Yen terus tertekan dengan pasaran ketika ini dalam mood risk-on yang menyebabkan emas juga menjunam. Emas jatuh sejak minggu lalu dengan risiko di dalam pasaran semakin reda.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

26 Jun – 30 Jun 03 – 07 Julai
Eur/Usd– naik 273 pip Eur/Usd- 127 pip volatile
Usd/Jpy– naik 183 pip Usd/Jpy– naik 208 pip
Gbp/Usd– naik 324 pip Gbp/Usd– jatuh 156 pip
Usd/Chf– jatuh 186 pip Usd/Chf- naik 112 pip
Usd/Cad– jatuh 324 pip Usd/Cad– jatuh 155 pip
Aud/Usd– naik 151 pip Aud/Usd– jatuh 124 pip
Nzd/Usd– naik 93 pip Nzd/Usd– jatuh 101 pip

Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat ulasan kalendar ekonomi utama sepanjang minggu ini.

  • Caixin PMI sektor pembuatan China (Isnin)

Petunjuk ekonomi dalam industri pembuatan China meningkat lebih pantas dari jangkaan pada bulan lalu, satu isyarat bahawa ekonomi kedua terbesar dunia ini mendapat momentum semula pada suku kedua tahun ini. Indeks Caixin (PMI) sektor pembuatan ini mengukuh kepada 50.4 pada Jun dari 49.6 sebelum itu di mana bacaan kali ini adalah yang tertinggi sejak Mac. Jangkaan bagi data kali ini ialah 49.5.

  • Indeks PMI sektor pembuatan UK (Isnin)

PMI sektor pembuatan UK menyusut ke paras terendah tiga bulan lalu kepada 54.3 pada Jun dari 56.3 yang direkod sebelum itu. Bacaan kali ini juga jauh dari jangkaan pasaran 56.3.

  • Indeks PMI sektor pembuatan US (Isnin)

Indeks ISM sektor pembuatan Amerika Syarikat naik ke paras 57.8 pada Jun dari 54.9 yang dicatat pada bulan sebelum itu. Bacaan kali ini adalah yang tertinggi sejak Ogos 2014 hampir tiga tahun lalu. Ia juga jauh di atas jangkaan pasaran pada paras 55.0.

Komen RBA bahawa ekonomi disokong oleh kadar faedah rendah dan kenaikan dolar Aussie akan merumitkan perubahan dalam ekonomi menunjukkan komitmen bank pusat yang masih mahu mengekalkan sokongan polisi monetari.

Hal ini telah menyebabkan Aud/Usd menjunam 80 pip setakat pukul 2.30 petang selepas pengumuman polisi 12.30 tengah hari pada Selasa.

  • Indeks PMI sektor pembinaan UK (Selasa)

PMI sektor pembinaan UK merosot kepada 54.8 pada Jun dari 56.0 sebelum ini dan juga meleset dari jangkaan pasaran 55.

Momentum pertumbuhan semakin perlahan dalam semua komponen sektor pembinaan pada Jun. Komponen perumahan penduduk meningkat lebih banyak berbanding komponen bangunan komersil pada tempoh sama. Bacaan dalam sektor perumahan merupakan kedua tertinggi sejak Disember 2015.

  • Indeks PMI sektor perkhidmatan UK (Rabu)

Indeks PMI sektor perkhidmatan UK merosot kepada 53.4 pada Jun dari 53.8 sebelum ini. Bacaan kali ini sedikit di bawah jangkaan pasaran 53.6.

Apabila dilihat dalam setiap komponen sektor perkhidmatan, kadar pertumbuhan perniagaan baru adalah yang terendah sejak sembilan bulan lalu, manakala komponen keyakinan perniagaan merekod bacaan terendah sejak Julai 2016.

  • Minit mesyuarat FOMC (Khamis)

Secara keseluruhan, minit mesyuarat ini menunjukkan FOMC akan meneruskan kenaikan kadar dan juga pengurangan penyata imbangan seawal September, khususnya dengan keyakinan bahawa kelemahan inflasi adalah sementara. Data-data terbaru inflasi adalah penting untuk diperhatikan khususnya bacaan CPI yang akan dikeluarkan minggu depan.

  • Imbangan Perdagangan Australia (Khamis)

Australia mencatat lebihan dagangan (trade surplus) melebihi jangkaan pada Mei disokong oleh pertumbuhan eksport melebihi import. Eksport berkembang 9% pada Mei, selepas jatuh 8% sebelum ini, manakala import hanya naik 1%.

  • Data pekerjaan ADP US (Khamis)

Data terbaru ADP merekodkan tambahan 158,000 pekerjaan pada Jun yang kurang daripada jangkaan pasaran 185,000. Jumlah tambahan pekerjaan pada Mei telah dikaji semula kepada 230,000 dari 253,000 sebelum ini. Bulan lalu, ADP merekod data yang begitu kukuh, tetapi tidak sejajar dengan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh US yang hanya menambah 138,000 pekerjaan.

  • Indeks PMI sektor perkhidmatan US (Khamis)

Data ISM sektor perkhidmatan meningkat kepada 57.4 dari 56.9 sebelum ini dan melebihi jangkaan 56.5. 17 daripada 18 industri dilaporkan merekod pertumbuhan pada Jun, sama seperti bulan Mei dan indeks juga berada di atas purata 12-bulan.

  • Data pengeluaran pembuatan UK (Jumaat)

Pengeluaran industri di UK merosot 0.1% pada Mei berbanding jangkaan pasaran 0.3%. Pengeluaran dalam sektor pembuatan jatuh 0.2% pada tempoh sama yang mana di bawah jangkaan pertumbuhan 0.5% di mana dari tahun ke tahun meningkat 0.4%. Ekonomi Britain semakin perlahan pada 2017 selepas keputusan pengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dalam referendum Jun 2016.

  • Data pekerjaan Kanada (Jumaat)

Kanada merekod kenaikan 45,300 pekerjaan pada Jun berbanding jangkaan 12,000. Ini merupakan bulan kedua berturut-turut data merekod peningkatan lebih dari jangkaan.

Pekerjaan sepenuh-masa bertambah sebanyak 8,100 pada Jun, manakala pekerjaan saparuh-masa naik 37,100 yang meningkat 3.0% dari tahun ke tahun.

Kadar pengangguran bertambah dari 6.5% kepada 6.6% dengan kadar penyertaan dalam tenaga buruh meningkat kepada 65.9% dari 65.8%. Jangkaan kadar pengangguran tidak berubah dari 6.6%.

  • Data pekerjaan NFP US (Jumaat)

Laporan data pekerjaan menunjukkan data yang bercampur-campur dengan tambahan pekerjaan bukan perladangan melebihi jangkaan pasaran pada Jun. Walaubagaimanapun, bacaan mengecewakan dicatat dalam dua komponen data pekerjaan iaitu kadar pengangguran dan kadar kenaikan gaji.

Pekerjaan di Amerika Syarikat bertambah sebanyak 220,000 berbanding kenaikan 152,000 yang telah dikaji semula pada Mei. Jangkaan pasaran bagi data kali ini ialah pekerjaan bertambah 175,000.

Kadar pengangguran meningkat dengan tidak dijangka kepada 4.4% berbanding bacaan sebelum dan jangkaan pasaran 4.3%.

Average hourly earnings (purata gaji per jam) hanya meningkat 0.2% pada Jun di mana pasaran menjangka kenaikan 0.3% tetapi lebih tinggi dari bacaan sebelum ini 0.1%. Dari segi tahunan, kenaikan kadar gaji naik 2.5% berbanding jangkaan 2.6% tetapi sejajar dengan bacaan bulan Mei.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat