Ulasan Pergerakan Pasaran Tukaran Matawang Sepanjang Minggu Ini (24-28 Julai)

99

US dolar sekali lagi mengalami kerugian minggu ini yang tertekan disebabkan oleh faktor polisi, ketidaktentuan kenaikan kadar faedah dan trend inflasi yang masih lemah walaupun bacaan data pertumbuhan US pada Jumaat adalah positif.

Usaha Republikan bagi menggantikan ‘Obamacare’ masih lagi gagal dalam cubaan kali ketiga meningkatkan lagi risiko kepada polisi-polisi yang lebih penting seperti rangsangan fiskal dan pemotongan percukaian. Dua faktor pengembangan fiskal ini adalah sebab kepada pengukuhan US dolar sejak kemenangan Trump pada November 2016 dan kali ini kita melihat perkara sebaliknya berlaku kepada US dolar berikutan risiko kepada dua polisi tersebut.

Walaupun data keyakinan pengguna US naik dengan signifikan, namun masih belum cukup menolak matawang greenback naik ke atas dengan tumpuan pasaran minggu ini (24 – 28 Julai) tertumpu kepada mesyuarat The Fed dan pengumuman data pertumbuhan ekonomi.

Mesyuarat FOMC dilihat mengeluarkan kenyataan yang bernada dovish secara keseluruhan kali ini dengan tiada isyarat jelas terhadap perancangan kenaikan kadar faedah. Tiada lagi penegasan terhadap “data lemah sejak akhir-akhir ini hanyalah sementara”, di mana bank pusat dilihat kurang yakin dan kurang pasti dengan tren pergerakan data inflasi. Bank pusat juga menegaskan sebarang tindakan kepada pengetatan akan bergantung kepada data-data ekonomi di masa hadapan.

Apa yang menambah tekanan kepada US dolar pada Jumaat adalah data positif pertumbuhan (GDP) Amerika Syarikat. Kenapa data postif menyebabkan US dolar jatuh? Bukankah ia sepatutnya mengukuh?

Data GDP US pada Jumaat sememangnya positif, namun apabila dilihat kepada komponen-komponen inflasi dalam data ini khususnya bacaan pendapatan pekerja, kita akan melihat berlakunya kemerosotan yang akan menolak perbelanjaan domestik ke bawah sekaligus menekan inflasi ke bawah. Walaupun data PCE positif dan lebih baik daripada suku pertama, namun komponen-komponen pendapatan adalah lemah.

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu ini kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu ini dan minggu lepas untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

17 – 21 Julai 24 – 28 Julai
Eur/Usd- Naik 248 pip Eur/Usd- naik 163 pip
Usd/Jpy– Jatuh 186 pip Usd/Jpy– jatuh 164 pip
Gbp/Usd– Jatuh 192 pip Gbp/Usd– naik 174 pip
Usd/Chf- Jatuh 220 pip Usd/Chf- naik 282 pip
Usd/Cad– Jatuh 179 pip Usd/Cad– jatuh 163 pip
Aud/Usd– Naik 203 pip Aud/Usd– naik 187 pip
Nzd/Usd– Naik 196 pip Nzd/Usd– naik 157 pip

Tanpa membuang masa lagi mari kita lihat ulasan kalendar ekonomi utama sepanjang minggu ini.

  • Indeks komposit Zon-Eropah (Isnin)

Indeks komposit pengeluaran merosot ke paras terendah enam-bulan lalu kepada 55.8 pada tempoh sama berbanding  56.3 yang dicatat pada bulan sebelum itu. Kadar penghasilan pekerjaan kukuh pada tempoh sama, khususnya dalam sektor pembuatan.

  • Keyakinan pengguna US (Selasa)

Keyakinan pengguna di Amerika Syarikat mengukuh dengan signifikan berbanding jangkaan pada Julai yang menunjukkan prestasi ekonomi negara ekonomi terbesar dunia yang positif. keyakinan pengguna bulan ini meningkat ke paras 121.1 berbanding 117.3 bulan lalu. Jangkaan pasaran bagi data kali ini ialah keyakinan jatuh kepada 116.5.

  • Data inflasi Australia (Rabu)

Kadar inflasi suku tahunan Australia di lihat bergerak perlahan berdasarkan indeks harga pengguna (CPI) yang di keluarkan pada Rabu.

Berdasarkan ramalan penganalisa pasaran, untuk mencapai jangkaan 2.2% inflasi tahunan, kadar kenaikan bulanan perlu berada sekitar 0.4%. Namun begitu, laporan CPI untuk suku tahun kedua hanya meningkat pada kadar 0.2%, sedikit perlahan jika di bandingkan pada peratusan suku tahun pertama pada 0.5%.

  • Pertumbuhan ekonomi UK (Rabu)

Pertumbuhan ekonomi UK meningkat 0.3% pada suku kedua sejajar dengan jangkaan pasaran dan 0.2% yang dicatat sebelum ini. Dari segi tahunan, pertumbuhan meningkat 1.7% dari 2.0% sebelum itu di mana bacaan kali ini juga sejajar dengan jangkaan pasaran.

  • Penetapan polisi Federal Reserve (Khamis)

Kesemua ahli mesyuarat bersepakat untuk mengekalkan kadar faedah dengan undian 9-0 selari dengan keadaan ekonomi semasa dan tiada sebarang isyarat bank pusat akan naikkan kadar dalam masa yang terdekat.

Kita dapat lihat nada dovish yang bersifat sederhana berikutan kadar inflasi yang tidak mencapai sasaran.The Fed di jangka akan melaksanakan pengecilan penyata imbangan dan mengusulkan kenaikan kadar faedah pada September depan.

Perlaksanaan ini penting bagi menentukan hala tuju ekonomi US serta meyakinkan pasaran. Secara keseluruhan, kenyataan bank pusat boleh ditafsirkan sebagai ‘dovish’ sekaligus membenam US dolar pagi tadi.

  • Pertumbuhan ekonomi US (Jumaat)

Data secara keseluruhan dilihat masih tidak mampu mengalihkan keyakinan yang lebih kukuh terhadap pengembangan ekonomi di mana hanya terdapat sedikit bukti kepada tekanan inflasi.

Apabilan dilihat ke dalam komponen-komponen pendapatan yang menjadi proksi kepada pergerakan tren inflasi, data pendapatan peribadi di US meningkat $118.9 billion pada suku kedua berbanding yang dicatat pada suku pertama sebanyak $217.6 billion.

Pengurangan dalam data-data pendapatan ini memberi gambaran bahawa tekanan kenaikan kepada inflasi masih lagi lemah dan menyebabkan US dolar lemah sejurus data ini dikeluarkan.

  • Pertumbuhan ekonomi Kanada (Jumaat)

Pertumbuhan ekonomi (GDP) Kanada meningkat 0.6% pada pada Mei berbanding 0.2% yang direkod pada April di mana bacaan kali ini juga lebih tinggi daripada jangkaan 0.2% pasaran.

Ini merupakan kenaikan ketujuh berturut-turut dalam pertumbuhan ekonomi di mana 14 daripada 20 industri merekod pertumbuhan pada Mei sekaligus memberikan pertumbuhan 4.6% dari segi tahunan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat