Unjuran Terhadap NFP Lemah, USD Pamer Reaksi Sebaliknya?

1,203

Pandemik coronavirus terus mencatat peningkatan di seluruh dunia, dengan lebih daripada 1 juta kes kini telah disahkan dan jumlah kematian melebihi 53,000. Keadaan di Amerika Syarikat terus memburuk dan antara negara utama yang menjadi penyumbang kepada peningkatan mendadak dalam kes global.

US dolar diniagakan meningkat berbanding sekumpulan matawang utama walaupun jumlah tuntutan faedah pengangguran Amerika pada minggu lepas menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 2 kali ganda berbanding yang dicatatkan minggu sebelumnya.

Jumlah tuntutan yang difailkan oleh rakyat Amerika meningkat pada minggu lepas sebanyak 6.6 juta daripada 3.28 juta. Ini menguatkan lagi gambaran bahawa sektor pekerjaan di AS terjejas teruk akibat terkesan oleh COVID-19.

Berikutan kebimbangan yang meningkat terhadap kesan coronavirus di seluruh dunia, pelabur kini melihat US dolar sebagai aset safe-haven, sekali gus mengangkat permintaan USD berbanding matawang utama.

Turut menyokong matawang itu adalah pemulihan dalam harga minyak susulan kenyataan Presiden AS Donald Trump bahawa Arab Saudi dan Rusia akan kembali ke meja rundingan dan berpotensi untuk mengurangkan pengeluaran minyak sehingga 10 juta tong.

Perhatian pasaran kini beralih kepada laporan pekerjaan NFP AS yang akan diterbitkan malam ini. Pekerjaan di Amerika diunjurkan mengalami kejatuhan ketara pada bulan Mac dengan penurunan sebanyak 100,000 daripada penambahan 273,000 pada bulan sebelumnya.

Sementara itu di Eropah, matawang euro diniagakan lemah ditekan oleh kebimbangan pelabur terhadap perselisihan antara kerajaan zon Eropah mengenai pakej rangsangan yang diperlukan oleh negara untuk berdepan dengan impak coronavirus.

Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) kini mempunyai masa sehingga 9 April untuk membincangkan pakej yang bersesuaian dan boleh diterima oleh negara anggota, setelah mereka gagal mencapai persetujuan mengenainya pada Khamis lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat