US Dolar Naik Berbanding Euro & GBP, Ini Sebab Dominasi Greenback Sepanjang Minggu Ini

1,206

Kejatuhan pasaran saham khususnya Wallstreet telah mengaktifkan sentimen berisiko pada minggu ini. Jelas dilihat kejatuhan pasaran saham pada Isnin dan Khamis tetapi peralihan kepada aset safe-haven agak terhad dengan US dolar merekodkan kenaikan yang meyakinkan sepanjang minggu ini. Indeks US dolar yang mengukur kekuatan matawang greenback berbanding enam matawang lain membentuk ‘reversal pattern‘ di weekly chart yang menunjukkan potensi untuk US dolar memulih beberapa minggu akan datang.

Tidak banyak data-data yang dikeluarkan dari Amerika Syarikat pada minggu ini, dengan pasaran memberi tumpuan kepada aspek politik di negara itu khususnya undian bajet kerajaan.

Kita telah melihat kejatuhan US dolar terutamanya berbanding Yen pada Isnin yang disebabkan oleh kejatuhan Wallstreet sekaligus menimbulkan risiko kepada pasaran global. Ia sekaligus menyebabkan peralihan dana ke aset safe-haven seperti Yen dan emas pada Isnin. Dengan pemulihan Wallstreet pada Selasa dan khamis, sentimen pasaran beransur pulih pada tempoh tersebut sebelum sekali lagi merekodkan kejatuhan besar pada Khamis dan berterusan sehingga Jumaat walaupun berjaya pulih pada lewat sesi dagangan Jumaat.

Jika dilihat berbanding Yen, ternyata US dolar agak lemah. Tetapi apa yang menyokong kenaikan indeks US dolar adalah kelemahan matawang Euro dan GBP. Dengan kelemahan kedua-dua matawang ini, ia telah banyak menyokong US dolar dalam indeks tersebut kerana kedua-dua matawang ini mewakili sebahagian besar dalam pengiraan naik-turun indeks itu.

US dolar juga berhadapan dengan tekanan pada Khamis disebabkan penutupan kerajaan Amerika Syarikat.

US dolar membuat penurunan yang banyak dalam sesi dagangan Khamis apabila Amerika berhadapan dengan risiko pasaran dan juga politik. Seperti yang kita tahu, Wallstreet sekali lagi merekodkan penurunan sehingga 4% pada Khamis sekaligus menunjukkan pasaran yang berisiko. Tidak cukup dengan itu, Amerika pada Khamis juga terpaksa ditutup berikutan kehabisan dana kerajaan.

Namun, penutupan kerajaan akhirnya berjaya ditamatkan pada Jumaat. Bajet kerajaan ini diluluskan dengan undian 240-186 di Dewan Perwakilan dan akan ditandatangani oleh Presiden Trump. Presiden Trump juga telah menandatangani rang undang-undang tersebut yang mana akan melanjutkan bajet kerajaan sehingga 23 Mac.

Dewan Perwakilan (House Representative) bersama-sama dengan Dewan Senat membuat undian pada awal pagi Jumaat waktu New York bagi mengesahkan rang undang-undang untuk menamatkan ‘government shutdown‘ (penutupan kerajaan).

Sebelum kita meneruskan kepada ulasan kalendar ekonomi sepanjang minggu lalu kita lihat dahulu julat pergerakan pasangan matawang utama dunia pada minggu lalu dan minggu sebelum itu untuk melihat perbezaan antara kedua-dua tempoh ini.

29 Jan – 02 Feb 05-09 Feb
Eur/Usd- volatile 187 pip Eur/Usd – jatuh 270 pip
Usd/Jpy– naik 207 pip Usd/Jpy – jatuh 225 pip
Gbp/Usd– volatile 298 pip Gbp/Usd – jatuh 386 pip
Usd/Chf- volatile 141 pip Usd/Chf – volatile 183 pip
Usd/Cad– naik 187 pip Usd/Cad – naik 290 pip
Aud/Usd– jatuh 201 pip Aud/Usd – jatuh 194 pip
Nzd/Usd– jatuh 141 pip Nzd/Usd – volatile 174 pip

 

Tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat ulasan keseluruhan data-data dan event ekonomi sepanjang minggu lalu.

  • Indeks sektor perkhidmatan UK (Isnin)

Aktiviti dalam sektor perkhidmatan UK merosot bulan lalu dengan data yang dikeluarkan oleh Markit menunjukkan indeks PMI susut kepada 53 berbanding jangkaan 54.1. Markit mengatakan pengeluaran perkhidmatan di UK meningkat pada kadar terendah sejak September 2016, dengan tempahan baru juga naik pada kadar rendah berbanding bacaan purata 2017.

  • Data jualan runcit Zon-Eropah (Isnin)

Jualan runcit di Zon Eropah pada bulan lalu merosot disebabkan jualan tenaga dan pakaian yang rendah.  Statistik Eropah melaporkan jualan runcit di 19 negara merosot 1.1% lebih daripada jangkaan kemerosotan 1.0%. Bulan November merekodkan peningkatan 2%.

  • Imbangan perdagangan Australia (Selasa)

Imbangan perdagangan mencatat defisit sebanyak $1.36 billion berbanding bulan November yang mencatat lebihan sebanyak $36 juta. Bacaan ini juga tersasar daripada jangkaan penganalisis yang menjangkakan lebihan sebanyak $200 juta.

  • Penetapan polisi monetari Australia (Selasa)

Reserve Bank of Australia (RBA) mengekalkan kadar faedah di paras 1.50%. Menurut RBA, paras kadar faedah yang rendah mampu menyokong ekonomi Australia. Pengekalan kadar faedah dapat mendorong pertumbuhan ekonomi dan mencapai sasaran inflasi.

Bank pusat menjangkakan kemungkinan kadar faedah akan ditingkatkan atau diturunkan pada masa akan datang. Inflasi pula dijangka akan berada di paras yang rendah buat seketika berikutan pertumbuhan yang perlahan dalam kos buruh dan persaingan antara syarikat.

  • Imbangan dagangan Kanada (Selasa)

Defisit imbangan dagangan Kanada meningkat kepada $3.2 billion pada Disember berikutan peningkatan import mengatasi eksport. Jangkaan untuk data kali ini hanyalah defisit sebanyak $2.2 billion.

  • Indeks harga GDT New Zealand (Selasa)

Indeks GDT yang mengira perubahan harga dalam produk tenusu di New Zealand merekodkan bacaan memberangsangkan. Bacaan meningkat 5.9% berbanding sebelum ini yang meningkat  4.9%.

  • Data pekerjaan New Zealand (Rabu)

Kadar pengangguran jatuh kepada 4.5% bagi suku keempat 2017. Kadar ini lebih rendah daripada bacaan suku tahun ketiga. Bacaan kali ini juga adalah yang terendah sejak suku tahun berakhir Disember 2008. Kadar pekerjaan pula meningkat sebanyak 0.5% pada suku tahun kepada 2.61 juta pekerjaan. Pakar ekonomi hanya mensasarkan 0.4% peningkatan.

  • Penetapan polisi monetari New Zealand (Khamis)

Bank pusat New Zealand (RBNZ) mengekalkan kadar faedahnya di paras 1.75% pada Khamis sejajar dengan jangkaan pasaran. Dalam pengumuman polisi monetari itu RBNZ (Reserve Bank of New Zealand) turut mengeluarkan kenyataan polisi suku-tahunan.

Apa yang agak mengecewakan adalah bank pusat mengekalkan ramalan kenaikan kadar faedah pertama pada suku kedua 2019. Secara keseluruhan, bank pusat melihat masih banyak ketidaktentuan dalam ekonomi.

Kekecewaan pelabur ditambah lagi dengan ramalan inflasi di mana jangkaan untuk sasaran 2% dicapai menjadi semakin lewat. Sebelum ini bank pusat menjangka sasaran inflasi 2% itu dapat dicapai pada suku kedua 2018, tetapi kali ini ia dijangka dicapai pada suku ketiga 2020.

  • Imbangan perdagangan China (Khamis)

Import China dilaporkan meningkat 36.9% dengan eksport naik 11.1%. Lebihan dagangan China hanya merekodkan $20.34 billion berbanding jangkaan $54.1 billion.

  • Penetapan polisi monetari UK (Khamis)

Pasaran telah maklum Bank of England (BoE) mengekalkan kadar faedahnya pada Khamis dengan komen yang lebih hawkish. BoE khususnya Gabenor Carney mengatakan kadar faedah mungkin akan dinaikkan lebih awal daripada jangkaan.

“Dengan ekonomi mengukuh dan pertumbuhan UK melebihi had, kami menjangka untuk mengurangkan sokongan kepada ekonomi bagi membawa inflasi ke paras 2% semula,” jelas Carney. Komen ini bermaksud akan menaikkan kadar faedah untuk mencapai sasaran inflasi 2%.

Carney juga menegaskan ekonomi bergerak sejajar dengan unjuran laporan inflasi yang dibuat pada Februari di mana polisi monetari perlu diketatkan lebih awal berbanding unjuran November lalu.

  • Pengeluaran industri UK (Jumaat)

Pengeluaran industri pembuatan UK naik 0.3% pada Disember sejajar dengan jangkaan pasaran. Kenaikan sebelum itu pada November telah dikaji semula dari kenaikan 0.4% kepada hanya 0.2%.

  • Data pekerjaan Kanada (Jumaat)

Ekonomi Kanada kehilangan 88,000 pekerjaan pada Januari yang jauh meleset daripada jangkaan kemerosotan 2,000 pekerjaan. Kadar pengangguran catat 5.9% melebihi jangkaan 5.8%. Namun, ekonomi Kanada menambah 49,000 pekerjaan sepenuh masa walaupun kehilangan 137,000 pekerjaan separuh masa. Ini juga menunjukkan pasaran pekerjaan yang semakin berkualiti dengan tambahan yang besar dalam pekerjaan sepenuh-masa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat