US Dolar Susut, EUR/USD Pamer Corak Kenaikan Harga

481

Matawang US dolar diniagakan menyusut selepas acara menandatangani perjanjian perdagangan fasa pertama di antara Amerika Syarikat dan China berjalan lancar awal pagi ini.

Penganalisis pasaran melihat bahawa tiada perkembangan positif terbaru berhubung perkara tersebut ekoran tarif import terhadap China masih lagi dikekalkan. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyatakan tarif akan digugurkan jika persetujuan dicapai pada fasa kedua.

Walaupun begitu, ucapan oleh Timbalan Presiden China Liu He menyatakan komitmen China untuk menambah pembelian produk pertanian daripada Amerika Syarikat dan juga import yang lain.

Dagangan US dolar bergerak lemah walaupun sentimen pasaran dilihat semakin pulih selepas ketegangan hampir 2 tahun ekonomi terbesar dunia itu telah dapat diredakan.

Pergerakan harga pada carta pasangan matawang EUR/USD pada dagangan semalam telah mencatatkan kenaikan ke paras tertinggi mingguan ekoran penyusutan matawang USD.

Harga yang pada mulanya menunjukkan penurunan dilihat gagal melepasi trendline yang membentuk corak kenaikan harga sejak awal minggu.

Harga kemudiannya kembali bergerak lebih tinggi dari garisan halangan Moving Average 50 (MA50) menunjukkan kecenderungan harga untuk bergerak menaik.

Mencapai paras ketinggian melepasi 1.11600 pada lewat sesi New York, harga kemudian bergerak perlahan dan ditutup lebih rendah di paras sekitarnya.

Menyambung dagangan pada sesi Asia hari ini, harga bergerak perlahan dan pelabur akan menantikan data jualan runcit Amerika Syarikat untuk bulan Disember yang akan diterbitkan pada sesi New York, jam 9.30 malam waktu Malaysia.

Jika corak kenaikan harga berjaya dikekalkan, paras penting pada 1.12000 dilihat akan menjadi tumpuan harga untuk diuji.

Kenaikan lebih tinggi harga yang berjaya menembusi paras tersebut dilihat akan menuju zon resistance pada ketinggian 1.12400.

Namun jika US dolar kembali mengukuh dan berjaya menekan harga pada carta EUR/USD ke paras lebih rendah, paras tumpuan pada 1.11000 bakal diuji seterusnya menuju paras support sekitar 1.10840 yang dicecah minggu lalu.

Penurunan lebih rendah bakal menuju pula zon support lebih rendah sekitar paras 1.10700.

Lihat gambar carta pasangan matawang EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat