US Dolar Terus Menyusut, Dilaporkan 6 Kes Kematian Di Washington Akibat Coronavirus

279

Matawang US dolar kekal diniagakan berisiko pada minggu ini dengan mencatatkan penurunan ke paras terendah 6 minggu berbanding matawang utama yang lain berikutan jangkaan pelabur yang semakin meningkat untuk Federal Reserve (Fed) bakal menurunkan kadar faedah di samping terkesan oleh impak negatif penularan wabak Coronavirus COVID-19.

Dilaporkan 4 lagi kes kematian di Washington akibat novel Coronavirus menjadikan jumlah kematian setakat ini 6 orang. Kes jangkitan virus di Amerika Syarikat kini telah meningkat kepada lebih 100 kes.

Situasi panik pada pasaran global telah mendorong Pengerusi Fed, Jerome Powell yang mengeluarkan kenyataan bahawa Fed bersedia untuk mengambil langkah yang bersesuaian untuk menyokong ekonomi seperti yang turut dinyatakan oleh bank pusat Jepun (BOJ).

Berdasarkan panduan indikator CME Group’s FedWatch, kebarangkalian meningkat ke paras 100% untuk jangkaan Fed bakal turunkan kadar faedah sehingga 50 mata asas pada mesyuarat dasar monetari edisi Mac.

Turut mengkritik Fed adalah Presiden A.S Donald Trump yang menyatakan bahawa Fed bertindak perlahan dan sepatutnya kadar faedah diturunkan lebih rendah dan segera. Beliau mendakwa bahawa ekonomi Amerika Syarikat semakin ketinggalan berbanding negara ekonomi utama yang lain kerana tindakan oleh Fed.

Namun, pasaran seakan tidak memberi reaksi yang ketara terhadap kenyataan beliau tersebut yang dilihat hanya mengulangi kritikan yang dikeluarkan sebelum ini.

Menjadi tumpuan pada sesi New York semalam, data PMI pembuatan tinjauan ISM di Amerika Syarikat mencatatkan bacaan yang kurang memberangsangkan. Data bagi bulan Februari sedikit menurun kepada 50.1 mata berbanding 50.9 mata bulan sebelumnya.

Aktiviti perkilangan perlahan ekoran gangguan rantaian bekalan ekoran penularan wabak Coronavirus yang menjejaskan pengeluaran dan pesanan baru.

Di Eropah, European Central Bank (ECB) turut mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia untuk mengambil langkah yang perlu untuk menangani impak ekonomi yang terkesan oleh penularan COVID-19.

Dolar Euro kekal mempamerkan pengukuhan sejak minggu lalu mengambil kesempatan di atas penyusutan matawang US dolar dalam pasaran.

Sementara Pound Sterling diniagakan lemah, jatuh ke paras terendah 4 bulan berbanding euro berikutan langkah berwaspada diambil oleh pelabur dalam mengikuti perkembangan rundingan antara Britain dan Kesatuan Eropah untuk hubungan dagangan mereka selepas Brexit.

Matawang safe-haven Yen pula gagal memanfaatkan sepenuhnya situasi pasaran berisiko yang dilihat bergerak lebih mendatar pada dagangan awal minggu. Ini adalah ekoran kenyataan oleh Gabenor BOJ, Haruhiko Kuroda yang mengatatkan bank pusat akan mengambil langkah yang bersesuaian untuk kestabilan pasaran kewangan.

Matawang dolar Australia bergerak lemah dalam pasaran menantikan keputusan mesyuarat dasar monetari oleh Reserve Bank of Australia (RBA) pada jam 11 pagi ini.

Pasaran menjangkakan RBA bakal menurunkan kadar faedah ke paras terendah terbaru iaitu 0.50% berbanding 0.75% sebelum ini. Terdapat juga jangkaan oleh penganalisis ekonomi untuk RBA turunkan kadar faedah sehingga 50 mata asas.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat