USD ‘Berehat’ Dari Teruskan Kenaikan, Data Jualan Runcit AS Pula Jadi Tumpuan!

623

Dolar Amerika kekal mempertahankan pengukuhannya walaupun sedikit berundur dari puncak tertinggi 20 tahun ketika pasaran menuju penghujung dagangan minggu ini.

Raja mata wang itu juga berada di landasan untuk kenaikan minggu ketiga berturut-turut apabila pelabur meningkatkan jangkaan Federal Reserve (Fed) akan melaksanakan pengetatan bersaiz besar pada mesyuarat polisi yang akan berlangsung dua minggu lagi.

Ini susulan bacaan mengejutkan dalam data inflasi pengguna Amerika Syarikat yang melonjak lebih tinggi kepada 9.1% pada bulan Jun, dan harga pengeluar juga mengukuh dengan kenaikan 1.1%.

Meskipun begitu, pelabur terpaksa mengetepikan jangkaan untuk peningkatan 100 mata asas selepas penggubal dasar Fed Christopher Waller dan James Bullard memberitahu bahawa mereka lebih ‘menyukai’ kenaikan sebanyak 75 mata asas.

Kenyataan tersebut menyebabkan dagangan dolar greenback sedikit merosot dari paras ketinggian baharu yang dicapainya pada Khamis.

Sementara itu, sentimen pasaran masih lagi suram ekoran kebimbangan kemelesetan, lebih-lebih lagi setelah diperlihatkan dengan data ekonomi China yang menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2022 lebih lembap daripada dijangkakan.

Hal ini menyebabkan dolar Aussie dan New Zealand bergelut untuk lebih maju mencatatkan peningkatan di tengah-tengah kemerosotan US dolar.

Selain itu, dagangan euro cuba bertahan daripada jatuh lebih rendah berbanding US dolar, manakala mata wang pound pula terus berlegar di paras terendah dua tahun.

Data jualan runcit Amerika Syarikat yang bakal diterbitkan pada sesi New York akan menjadi tumpuan pelabur bagi menentukan hala tuju pasaran mata wang seterusnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat