USD Kekal Kukuh, Data Pekerjaan ADP AS Jadi Tumpuan Hari Ini!

400

Dengan prestasi cemerlang dipaparkan, agak mengagumkan buat pelabur apabila mata wang US dolar dilihat masih mengekalkan corak pengukuhannya sehingga semalam.

US dolar terus kukuh walaupun data JOLTS yang mengukur jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka di Amerika Syarikat (AS) adalah lebih perlahan berbanding ramalan untuk bulan Oktober.

Jumlah tawaran pekerjaan dibuka pada Oktober menurun sekitar 620,000 kepada 8.73 juta daripada catatan 9.35 juta bulan sebelumnya yang dikemas kini menurun.

Sokongan untuk US dolar adalah terbitan data tinjauan ISM sektor perkhidmatan yang mencatatkan angka meningkat sedikit pada November melebihi ramalan, iaitu 52.7 mata berbanding ramalan 52.2.

Indeks dolar (DXY) kekal meningkat sehingga capai 104.00 mata manakala, hasil perbendaharaan 10 tahun AS merosot lebih rendah sekitar 4.17%.

Penganalisis melihat pengukuhan US dolar sejak minggu lalu adalah susulan fasa pembetulan harga selepas jualan besar-besaran ke atas mata wang tersebut yang telah berlarutan beberapa minggu sebelumnya.

Justeru, pelabur mungkin perlu bersedia untuk risiko penyusutan semula US dolar yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Tumpuan pada penghujung minggu akan terarah kepada laporan data pekerjaan NFP AS pada Jumaat nanti, namun sebelum itu pelabur akan meneliti petunjuk awal pada terbitan data pekerjaan ADP yang mengukur sektor swasta AS pada sesi New York malam ini.

Juga tumpuan akan diberikan kepada keputusan mesyuarat bank pusat Kanada (BOC) pada jam 11 malam dengan jangkaan kadar faedah akan dikekalkan di paras 5.00%.

Sesi Asia pagi ini terlebih dahulu pelabur akan memberi perhatian kepada data pertumbuhan ekonomi Australia (GDP) untuk suku ketiga yang mempengaruhi pergerakan dolar Aussie menyusuli keputusan mesyuarat polisi Reserve Bank of Australia (RBA) semalam.

Mata wang utama yang lain dalam pasaran dilihat masih menahan asakan pengukuhan US dolar sejak awal minggu.

Sementara perkembangan pasaran komoditi pula kekal suram menyaksikan harga minyak mentah alami kejatuhan sejak minggu lalu bersambung sehingga semalam.

Manakala dagangan emas pula ‘sendu’ memaparkan pergerakan perlahan yang menyusuli terjunan ketara harga selepas mencatatkan rekod harga paling tinggi dalam sejarah pada pembukaan pasaran awal minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat