USD Masih Kukuh Atau Sudah Kendur? Ini Faktor Penting Pelabur Perlu Tahu

784

Mata wang US dolar kekal berlegar di paras tertinggi 20 tahun walaupun dilihat sedikit bertenang pada dagangan Rabu semalam, namun masih memberi tekanan terhadap kebanyakan mata wang utama yang lain dalam pasaran.

Indeks dolar yang mengukur US dolar bersama 6 mata wang lain masih bermain di puncak sekitar 109.00 yang turut dicapai pada Julai lalu untuk rekod tertinggi 2 dekad.

Menjadi faktor yang menjejaskan momentum US dolar, laporan data pekerjaan ADP Amerika Syarikat (AS) untuk sektor swasta yang diterbitkan di sesi New York semalam mencatatkan bacaan yang lebih rendah berbanding jangkaan pada 132,000 untuk bulan Ogos walaupun sedikit mengatasi bulan sebelumnya pada 128,000.

Ini akan menguatkan lagi jangkaan untuk terbitan suram laporan pekerjaan NFP AS untuk bulan Ogos pada Jumaat nanti dan boleh mendorong US dolar kekal dengan prestasi hambar.

Walaupun terdapat penyusutan buat US dolar, namun penganalisis optimis untuk pengukuhan jangka panjang bagi raja mata wang itu selepas petunjuk hawkish oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell pada penghujung minggu lalu di Jackson Hole.

Kenyataan disampaikan oleh Powell itu telah menutup jangkaan pilihan bank pusat untuk memperlahankan kenaikan kadar yang agresif selepas bacaan inflasi AS terbaru mula menunjukkan penurunan setelah sebelumnya mencatatkan rekod tertinggi 40 tahun.

Keyakinan pelabur telah meningkat sehingga sekitar 70% untuk jangkaan kenaikan kadar faedah 75 mata asas kali ketiga berturut-turut oleh Fed pada mesyuarat FOMC bulan September.

Sementara itu, turut memberi isyarat hawkish kepada pelabur adalah bank pusat Eropah untuk meneruskan pengetatan dasar monetari mereka selepas kenaikan kadar faedah yang pertama dalam tempoh lebih 1 dekad telah dilaksanakan baru-baru ini.

Justeru, European Central Bank (ECB) dilihat lebih terdesak berada pada landasan pengetatan polisi yang tertinggal jauh berbanding bank-bank pusat lain yang telah bermula lebih awal.

Dagangan mata wang Euro menuju penghujung minggu dilihat bergelut untuk kekal berada di atas paras pariti $1.0000 (€1=$1).

Namun begitu, peningkatan bagi nilai Euro dilihat terhad ekoran faktor sekatan bekalan gas Rusia ke Eropah melalui saluran paip Nord Stream 1 bermula Rabu semalam atas alasan kerja penyelenggaraan.

Pelabur menantikan perkembangan pelan kecemasan yang diumumkan oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursulan von der Leyen dalam usaha menangani masalah harga tenaga yang melonjak di Eropah.

Mata wang utama lain seperti dolar Australia, dolar New Zealand serta dolar Kanada dilihat kekal tertekan dalam pasaran berikutan dominasi US dolar buat ketika ini.

Begitu juga dagangan komoditi emas yang diniagakan susut hampir mencecah $1,700 per auns ekoran tekanan peningkatan nilai US dolar dalam pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat