USD Menjunam Setelah Kadar Faedah Dikekalkan Pada FOMC Awal Pagi Ini

831

Nilai matawang dolar USD jatuh merudum selepas Federal Reserve (FED) memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah di paras 2.50% seperti yang telah dijangkakan pasaran ditambah lagi dengan kenyataan dengan nada yang berwaspada untuk unjuran ekonomi dan kadar faedah untuk masa hadapan oleh bank pusat. FED menyatakan mereka perlu bersabar dahulu untuk tindakan menaikkan kadar pinjaman pada tahun ini di mana ia akan terus meningkatkan kebimbangan dan ketidaktentuan terhadap unjuran ekonomi di Amerika Syarikat. Bank pusat turut mengatakan mereka bersedia untuk menggunakan seluruh pendekatan yang sesuai termasuk mengubah saiz dan komposisi pada penyata imbangan jika keadaan ekonomi memerlukan kelonggaran pada dasar monetari selain bergantung pada pemotongan kadar. Tumpuan untuk matawang USD akan terarah pula kepada laporan data pekerjaan NFP di Amerika Syarikat pada Jumaat yang dijangka bakal ada penurunan pada angka bacaan untuk pertambahan pekerjaan namun laporan ADP NFP yang dikeluarkan semalam mencatatkan peningkatan.

Sementara itu, rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China masih belum menunjukkan perkembangan yang positif di mana Presiden Donald Trump masih berada dalam tekanan untuk membuat rundingan. Amerika Syarikat dan China berhasrat untuk mengadakan beberapa lagi rundingan selepas ini sebelum tarikh akhir pada 1 Mac nanti.

Sterling pula kembali didagangkan pulih pada Rabu selepas penurunan pada nilainya ekoran Parlimen Britain telah menolak pindaan untuk melanjutkan Brexit, apabila pelabur masih melihat kerajaan masih berpeluang untuk menghindari situasi Brexit tanpa perjanjian bersama Kesatuan Eropah (EU). Namun dagangan Sterling buat masa ini masih perlahan dan dianggap berisiko oleh pelabur untuk dijadikan pilihan dagangan.

Di dalam kebimbangan yang dihadapi pasaran, matawang komoditi dollar CAD dan Aussie merebut peluang untuk mengukuhkan kembali nilai dagangan masing-masing. Harga minyak mentah kembali melonjak ke paras tertinggi dua bulan selepas isu sekatan Amerika Syarikat yang dikenakan ke atas perindustrian minyak Venezuela. Bekalan minyak mentah AS juga hanya menunjukkan peningkatan yang rendah daripada jangkaan. Aussie pula masih positif didagangkan ekoran data inflasi yang meningkat. Bank pusat Australia mengatakan kadar faedah seterusnya akan dijangka meningkat dan laporan terbaru ini memberikan isyarat yang positif buat dagangan dolar AUD.

Dalam perkembangan lain pula, bukanlah satu kejutan lagi jika keyakinan pelabur terhadap ekonomi pada zon Eropah terus merosot ekoran pertumbuhan ekonomi yang masih bergerak lemah. Indeks harga pengguna turut jatuh dan merekodkan paras terendah sejak Februari tahun lalu. Penganalisis berpendapat kenaikan nilai pada dagangan EURO adalah terkesan daripada kejatuhan nilai matawang dolar USD buat masa ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat