USD Pulih? Data PPI Tambah Amaran Risiko Ekonomi AS

509

Menjadi tumpuan pada dagangan Rabu semalam adalah terhadap raja mata wang US dolar apabila corak pergerakannya diperhatikan selepas menerima impak besar susulan data inflasi Amerika Syarikat (AS) diterbitkan pada Selasa lalu.

US dolar dilihat sedikit pulih semalam daripada penyusutan terbesar yang berlaku dalam tempoh 1 tahun itu, walaupun ketika data-data ekonomi AS diterbitkan pada sesi New York semalam adalah kurang memberangsangkan.

Pemulihan perlahan ini dilihat disokong oleh lantunan semula hasil perbendaharaan 10-tahun AS ke paras 4.55%.Manakala indeks dolar berlegar perlahan di bawah paras 104.50 mata.

Namun, situasi ini belum cukup untuk meredakan kebimbangan pasaran yang masih melihat tekanan ke atas US dolar dengan jangkaan penyusutan lanjut akan berterusan.

Data jualan runcit AS untuk bulan Oktober menguncup 0.1% namun sedikit baik berbanding ramalan -0.3%.

Sementara, data indeks harga pengeluar (PPI) AS menguncup 0.5% untuk bulan Oktober, menjadi pengucupan terbesar sejak April 2020 yang mengatasi ramalan 0.1%.

Bacaan tahunan pula susut dari 2.2% kepada 1.3% dan ini dilihat selari dengan bacaan inflasi pengguna yang telah diterbitkan, memberi gambaran corak kenaikan harga yang semakin perlahan.

Data tinjauan perniagaan kilang di New York (Empire State Manufacturing) pula meningkat kepada 9.1 mata untuk November, pulih daripada bacaan penguncupan sebelum ini.

Sentimen pasaran juga dilihat akan menambah tekanan terhadap US dolar ekoran bacaan data ekonomi China semalam agak memuaskan.

Ini mengurangkan tarikan terhadap mata wang safe-haven seperti US dolar ketika suasana pasaran dalam mod risk-on.

Tumpuan beralih di sesi Asia pagi ini (Khamis) kepada data pekerjaan Australia dengan pertambahan pekerjaan yang dicatatkan untuk Oktober sebanyak 55,000 lebih tinggi berbanding ramalan 22,800.

Kadar pengangguran meningkat daripada 3.6% kepada 3.7% seperti yang dijangkakan.

Di sesi New York malam ini pula, pasaran akan memerhatikan data tuntutan faedah pengangguran AS untuk mengukur bilangan individu yang menuntut insurans pada minggu lalu.

Perkembangan pasaran komoditi, pasaran minyak mentah kembali suram dengan penurunan harga bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent semalam.

Minyak WTI AS susut sekitar $76.50 setong manakala minyak Brent UK pula jatuh ke bawah paras $81.00 setong.

Dagangan emas pula mengurangkan sedikit keuntungan selepas lonjakan sebelum ini apabila harga susut $20 dari paras ketinggian $1,975 yang dicapai ke sekitar $1,955 di sesi New York semalam.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat