USD Tenggelam Dihentam ‘Tsunami’ Powell!

1,299

Pembukaan tirai dagangan Disember dihiasi dengan junaman dalam dagangan US dolar akibat dihentam oleh kenyataan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell yang dovish.

Seperti yang dinanti-nantikan, Powell akhirnya mengesahkan bahawa kenaikan kadar faedah yang lebih kecil mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Berucap di Institusi Brookings Washington pada awal pagi tadi, Powell berkata beliau melihat bank pusat berada dalam kedudukan untuk mengurangkan saiz kenaikan kadar secepatnya bulan Disember.

Meskipun begitu, beliau juga memberi amaran bahawa usaha memerangi inflasi masih belum tamat dan tiada petunjuk mengenai berapa kadar perlu dinaikkan dan berapa lama pengetatan akan berjalan.

Pelabur kini meningkatkan jangkaan untuk kenaikan sebanyak 50 mata asas dalam kadar faedah Fed pada mesyuarat polisi yang bakal berlangsung 13-14 Disember.

Ekoran daripada kenyataan Powell, indeks dolar terjun ke paras terendah 3 bulan pada 105.62 berbanding kebanyakan mata wang utama.

Sebelum ucapan Powell, pelabur telah menyaksikan penerbitan data pekerjaan ADP sektor swasta Amerika Syarikat yang tanpa dijangka menunjukkan penurunan pada bulan Oktober.

Pasaran seterusnya menerima kejutan daripada data keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS yang meningkat 2.9% daripada anggaran awal 2.6% pada suku ketiga.

Bacaan ini sepatutnya memberi sokongan buat US dolar tetapi berikutan kenyataan Powell, raja mata wang itu tenggelam lebih rendah.

Rentetan kejatuhan US dolar, kebanyakan mata wang utama melonjak tinggi yang menyaksikan dolar Aussie dan New Zealand adalah antara yang berprestasi baik dalam pasaran.

Kedua-dua mata wang itu juga mendapat sokongan daripada sentimen yang lebih baik susulan berita pelonggaran sekatan di Zhengzhou dan Guangzhou meskipun kerajaan masih berusaha untuk mengawal kes jangkitan baharu.

Euro dan pound juga mengukuh dengan mencatatkan kebangkitan ketara daripada paras terlemah yang dicatatkan sebelum ucapan Powell.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat