USD Terus Menderita, Yen Gagah Bak Juara

193

Penderitaan US dolar sedikit berkurangan pada sesi Asia selepas dibenam lebih rendah oleh mata wang yen kuat pada Selasa susulan pengumuman mengejut Bank of Japan (BOJ).

Walaupun kadar faedah kekal pada -0.10% dan sasaran hasil bon kerajaan Jepun 10 tahun tidak berubah pada 0%, tetapi bank pusat itu memberi kelonggaran untuk hasil bon turun naik antara -0.5% dan 0.5%, berbanding -0.25 dan 0.25% sebelum ini.

Ekoran itu, pelabur mentafsirkannya sebagai langkah pertama untuk BOJ beralih kepada dasar yang hawkish tidak lama lagi.

Sungguhpun begitu, Gabenor Haruhiko Kuroda menekankan perubahan itu bukan kenaikan kadar faedah tetapi untuk meningkatkan fungsi pasaran bon.

Meneliti pergerakan pasaran pada sesi Asia, yen didagangkan sekitar paras ketinggian 4 bulan berbanding USD walaupun keuntungan yang diraih dalam tiga sesi terdahulu sedikit berkurangan.

Sementara itu, mata wang euro sedikit berubah pada sekitar harga 1.0600 berbanding greenback, manakala pound pula berlegar pada 1.2150 pada sesi Asia.

Dolar Aussie dan New Zealand didagangkan mendatar dengan menyaksikan masing-masing didagangkan sekitar harga 0.6680 dan 0.6300 berbanding USD.

Selain itu, dolar loonie turut memaparkan pergerakan yang sama menjelang terbitan data inflasi Kanada untuk bulan Disember pada sesi New York akan datang.

Umumnya, pergerakan mata wang mendatar berikutan ketiadaan data-data atau acara utama yang dapat mempengaruhi pergerakan pasaran selain keputusan BOJ.

Pelabur juga mengurangkan aktiviti dagangan menjelang musim percutian pada minggu hadapan sempena Krismas dan tahun baru.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat