Vaksin Covid-19 Bakal Diedar Sebelum Krismas

717

Vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer Inc dan BioNTech berkemungkinan mendapat kebenaran daripada Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sekurang-kurangnya pada bulan hadapan selepas keputusan ujian akhir menunjukkan keberkesanan sebanyak 95% dan tiada kesan sampingan yang serius.

Keberkesanan vaksin itu terbukti konsisten untuk semua peringkat umur dan kaum, sekali gus merupakan petanda baik berikutan Covid-19 memberi kesan yang serius terhadap golongan warga emas serta berkulit hitam.

Menurut Ketua Eksekutif BioNTech, Ugur Sahin, Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (FDA) mungkin meluluskan pengedaran vaksin pada pertengahan bulan hadapan manakala pihaknya berkemungkinan mendapatkan kelulusan bersyarat daripada EU pada separuh kedua Disember.

“Sekiranya semua berjalan lancar, saya membayangkan kami mungkin mendapatkan kelulusan pada separuh kedua Disember dan memulakan penghantaran sebelum Hari Krismas tetapi hanya jika semuanya berjalan dengan positif,” kata Sahin.

Tambah Sahin, pihaknya akan memohon kebenaran Penggunaan Kecemasan (EUA) daripada AS esok.

Dalam pada itu, dedah seorang sumber, sebuah jawatankuasa penasihat FDA merancang untuk bertemu pada 8-10 Disember ini untuk membincangkan mengenai vaksin tersebut. FDA bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen berhubung perkara terbabit.

Sementara itu, Pfizer memaklumkan sebanyak 50 juta dos vaksin akan dihasilkan pada tahun ini, mencukupi untuk melindungi 25 juta orang dan akan menghasilkan sebanyak 1.3 bilion dos pada tahun depan.

Semalam, Pfizer mengatakan telah menawarkan jutaan dos vaksin kepada Brazil pada separuh pertama tahun hadapan. Syarikat itu juga telah mencapai persetujuan dengan EU, Jerman dan Jepun untuk pengedaran vaksin bermula tahun depan.

Kadar keberkesanan vaksin yang dibangunkan oleh kedua-dua syarikat berkenaan adalah jauh lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kesihatan. Pakar kesihatan mengatakan pencapaian itu adalah signifikan dalam usaha menamatkan pandemik.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat