Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) semalam memutuskan untuk menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas atau 0.25% yang diumumkan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell. Keputusan itu memberi reaksi positif kepada pasaran Wall Street yang mengalami penurunan pada sesi awal dagangan.
Indeks Dow Jones menamatkan sesi dagangan dengan mencatatkan kenaikan 36.28 mata untuk berada pada paras 27,147.08 mata. S&P 500 juga mengalami sedikit kenaikan 1.03 mata kepada 3,006.73 mata. Namun nasib berbeza dialami oleh Nasdaq apabila gagal menamatkan sesi dagangan lebih tinggi apabila jatuh 8.62 mata kepada 8,177.39 mata.
Dalam satu sidang akhbar, Powell menyatakan sekiranya ekonomi tidak menunjukkan sebarang perubahan, kadar faedah mungkin akan dipotong kepada suatu kadar yang lebih sesuai. Kini kadar faedah diselaraskan kepada 1.75% hingga 2% dan merupakan penurunan kali kedua yang dibuat oleh Fed dalam tahun ini.
Tambah Powell, pihak Fed sangat bergantung kepada data dan sebarang keputusan hendaklah dibuat melalui mesyuarat. Pihak Fed juga akan menghentikan kadar pemotongan apabila kadar yang sedia ada sudah memadai.
Terdapat beberapa pihak yang tidak senada dengan keputusan Fed. Presiden Kansas City dan Boston masing-masing tidak bersetuju mengenai pemotongan ini manakala Presiden St. Louis berpendapat kadar faedah sepatutnya dipotong dengan kadar yang lebih tinggi.
Berdasarkan ramalan dari kesemua 17 orang pembuat dasar yang dikeluarkan pada akhir mesyuarat, tujuh daripadanya menjangkakan akan berlaku satu lagu penurunan kadar faedah menjelang akhir tahun ini, lima lagi melihat tiada lagi pemotongan untuk tahun ini dan baki lima orang membantah sebarang pemotongan kadar faedah.
Terdapat sedikit perubahan dalam unjuran yang dibuat oleh pembuat dasar bagi ekonomi dengan pertumbuhan KDNK dilihat sedikit tinggi iaitu 2.2% pada tahun ini dan kadar pengangguran menjadi 3.7% menjelang 2020. Inflasi dijangka pada kadar 1.5% untuk tahun ini, lebih rendah daripada jangkaan Fed sekitar 2%, dan bakal meningkat kepada 1.9% pada tahun depan.