Wall Street Gagal Kekalkan Momentum Pada Sesi Awal Dagangan

198

Pembukaan saham wall Street yang kukuh pada sesi sebelah pagi tidak dapat diteruskan di sebelah petang apabila perjanjian perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China dilihat masih menjadi kebimbangan kepada pelabur. Pasaran saham ditutup bercampur-campur yang menyaksikan Dow Jones mengalami sedikit penurunan berbanding indeks-indeks lain.

Kebimbangan itu timbul apabila Michael Pillsbury, penasihat terkemuka kepada Presiden AS Donald Trump, memberitahu akhbar South China Morning Post bahawa Trump akan menaikkan tarif dengan ketara ke atas import China kecuali perjanjian perdagangan dapat dirunding dengan segera.

Indeks Dow Jones menamatkan sesi dagangan dengan penurunan sebanyak 52.29 mata untuk berada pada paras 27,094.79 mata. Nasib berbeza ditunjukkan oleh S&P 500 yang berganjak hanya sedikit 0.06 mata kepada 3,006.79 mata dan Nasdaq juga naik 5.49 mata untuk berada pada kedudukan 8,182.88 mata.

Sementara itu, Microsoft yang merupakan syarikat gergasi perisian naik 1.84% ke paras tertinggi selepas mengumumkan pembelian semula saham yang bernilai $40 bilion serta menaikkan pemberian dividen suku tahunannya kepada 51 sen sesaham, naik 5 sen berbanding pengumuman sebelum ini.

Dalam pada itu, perunding AS termasuk penasihat ekonomi White House, Peter Navarro dan Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin masing-masing menunjukkan keyakinan yang rendah bagi rundingan akan datang di antara dua ekonomi terbesar dunia berikutan situasi pasaran pada Ogos yang dilihat sebagai tidak menentu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat