Wall Street Meningkat, Mesyuarat FOMC Jadi Tumpuan Pelabur

372

Pasaran saham Amerika Syarikat menamatkan sesi dagangan dengan menunjukkan sedikit kenaikan walaupun pada sesi sebelah pagi indeks mengalami penurunan. Situasi ini didorong oleh kejatuhan harga minyak dan kerajaan Arab Saudi dijangka dapat memulihkan semula sebahagian besar pengeluaran minyaknya lebih cepat daripada sasaran awal serta mesyuarat penetapan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang berlangsung selama dua hari.

Indeks utama di AS seperti Dow Jones ditutup pada paras 27,110.80 mata, naik 34.00 mata berbanding sesi semalam. S&P 500 juga menunjukkan sedikit kenaikan 7.74 mata untuk berada pada paras 3,005.70 mata manakala Nasdaq mencatatkan penambahan 32.48 mata kepada 8.186.02 mata.

Menteri Tenaga Saudi, Putera Abdulaziz Bin Salman dalam satu sidang akhbar menyebut sebanyak 50% daripada pengeluaran minyak mentah yang dipotong ekoran insiden serangan baru-baru ini telah berjaya dipulihkan dalam tempoh dua hari manakala sebahagian lagi akan dipulihkan sepenuhnya menjelang akhir September. Kementerian Luar Negeri Saudi berkata siasatan awal menunjukkan senjata Iran telah digunakan dalam serangan itu.

Presiden AS, Donald Trump membidas beberapa retorik awal mengenai tindak balas daripada tentera AS terhadap serangan dron ke atas dua kawasan minyak Saudi sambil menunding jari ke arah kerajaan Iran. Dalam pada itu, harga minyak mentah kontrak bagi Brent jatuh $4.53 kepada $63.15 setong manakala kontrak West Texas Intermediate (WTI) juga turun $3.80 kepada $59.10 setong.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang berlangsung selama dua hari menyaksikan Fed bakal mengumumkan pengurangan kadar faedah bagi suku tahunan untuk kali kedua pada tahun ini. Penanda aras kini berada pada paras 2% hingga 2.25%. Pengumuman penuh dari FOMC dijangka pada hari ini jam 2 petang waktu tempatan.

Pemerhati Fed akan memberi tumpuan kepada apa yang dikemukakan oleh Pengerusi Fed, Jerome Powell pada sidang akhbarnya mengenai lanjutan pelonggaran. Powell menegaskan bahawa bank pusat akan bertindak dengan langkah yang sesuai bagi mengekalkan perkembangan ekonomi AS, terutama sekali perang perdagangan selama 14 bulan di antara AS dan China yang dilihat semakin berlanjutan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat