Yen Jepun Menguat, Risiko Brexit Terus Hantui Dagangan Pound

569

Sentimen kekal berisiko walaupun kebanyakan matawang utama meraih keuntungan berbanding US dolar berikutan laporan mengenai ujian vaksin AstraZeneca yang akan disambung semula minggu ini.

Selain itu, pasaran juga menyambut baik kenyataan fima farmaseutikal, Pfizer yang turut terlibat dengan usaha membangunkan vaksin Covid-19 berpotensi bahawa ia akan mula mengedarkan vaksin kepada rakyat Amerika secepatnya sebelum akhir tahun ini.

Dolar kiwi mempamerkan prestasi terbaiknya pada hari ini setelah disokong oleh jangkaan bahawa sekatan coronavirus di Auckland akan dikurangkan ke tahap 1 pada minggu depan. Dolar Aussie pula sebaliknya, dengan didagangkan lemah berbanding USD ketika ketegangan AS-China terus meningkat.

Sementara itu, safe-haven yen mencatatkan peningkatan berbanding beberapa matawang utama setelah Yoshihide Suga terpilih sebagai pemimpin baru Parti Liberal Demokratik (LDP), yang mana ia juga bermaksud beliau memiliki peluang besar untuk memenangi jawatan sebagai perdana menteri Jepun dalam pemilihan parlimen pada Rabu.

Bagaimanapun, peningkatan yang diraih matawang yen Jepun mungkin tidak lama memandangkan dengan terpilihnya Suga sebagai perdana menteri baru, ia bermaksud legasi ‘Abenomics’ akan diteruskan.

Matawang pound sterling memaparkan sedikit kenaikan pada sesi pasaran hari ini namun dagangan masih berisiko berikutan krisis Brexit yang terus meningkatkan kebimbangan pasaran.

Perdebatan mengenai rang undang-undang pasaran dalaman akan berlangsung pada hari ini di Dewan Rakyat, yang mana selepas itu satu undian akan diadakan. Sekiranya rang undang-undang tersebut diterima, ia pastinya memacu kejatuhan pound sterling, dan jika ia ditolak perkara sebaliknya akan berlaku pada matawang itu.

Anda mungkin juga berminat