Berikut merupakan sebahagian daripada data-data ekonomi penting yang akan menjadi tumpuan pasaran sepanjang minggu ini.
SELASA (12 Mac 2024):
Laporan Data Pekerjaan UK (3.00 Petang) – Bank pusat England akan meneliti sektor pekerjaan menerusi laporan yang akan diterbitkan minggu ini. Beberapa komponen penting akan diberi tumpuan termasuk tuntutan faedah pengangguran, indeks purata gaji serta kadar pengangguran di UK.
Data Inflasi AS (8.30 Malam) – Selepas laporan pekerjaan minggu lalu diperhatikan, tumpuan akan beralih pula kepada bacaan inflasi terbaru untuk Amerika yang akan menjadi petunjuk seterusnya terhadap dasar monetari bank pusat.
RABU (13 Mac 2024):
Data KDNK UK (3.00 Petang) – Selain pekerjaan UK, bacaan pertumbuhan ekonomi juga akan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penetapan dasar monetari bank pusat England untuk mesyuarat polisi seterusnya. Jangkaan pertumbuhan bulanan adalah positif untuk Januari 2024.
KHAMIS (14 Mac 2024):
Data PPI AS (8.30 Malam) – Bacaan data inflasi pengeluar Amerika dijangka tidak menunjukkan perubahan yang ketara untuk peningkatan bulanan. Data ini akan diterbitkan bersama bacaan jualan runcit dan kedua-duanya dijangka akan memberi impak terhadap pergerakan US dolar menuju dagangan penghujung minggu.
JUMAAT (15 Mac 2024):
Data Keyakinan Pengguna AS (10.00 Malam) – Pergerakan US dolar dijangka bergelora sehingga ke penghujung minggu dengan data tinjauan keyakinan pengguna akan dipantau pada sesi terakhir. Ramalan angka adalah sedikit baik daripada bacaan sebelumnya yang dikemaskini menurun.