Here are some of the important economic data that will be the focus of the market throughout this week.
ISNIN (2 Disember 2024)
Data PMI Pembuatan AS Tinjauan ISM (11.00 Malam) – Tinjauan terhadap sektor pembuatan di Amerika akan diperhatikan pada pembukaan bulan yang baru ini. Angka ramalan PMI dijangka meningkat pada November berbanding kejatuhan pada bulan sebelumnya, namun akan masih kekal di bawah paras 50 mata.
SELASA (3 Disember 2024)
Data Pekerjaan JOLTS (11.00 Malam) – Penilaian terhadap sektor buruh di Amerika akan dibantu oleh laporan data JOLTS terbaru yang mengira jumlah tawaran pekerjaan yang dibuka pada bulan Oktober lalu. Ramalan adalah peningkatan angka yang perlahan selepas kemerosotan pada bulan sebelumnya.
RABU (4 Disember 2024)
Data KDNK Australia (8.30 Pagi) – Selepas petunjuk terhadap data inflasi diterbitkan minggu lalu, bank pusat Australia akan meneliti pula petunjuk seterusnya menerusi data pertumbuhan ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar Australia bagi suku ketiga diramalkan berkembang dengan baik meningkat kepada 0.5%.
Data Pekerjaan ADP AS (9.15 Malam) – Data yang mengukur pekerjaan swasta di Amerika ini dijangka berisiko memberi tekanan kepada US dolar. Ini berikutan ramalan untuk November adalah suram dengan jangkaan pertambahan 166,000 selepas lonjakan 233,000 pada Oktober lalu.
Data PMI Perkhidmatan AS Tinjauan ISM (11.00 Malam) – Tinjauan terhadap sektor perkhidmatan Amerika kekal diramalkan baik di atas paras 50 mata. Namun, dijangka sedikit menurun untuk bacaan November.
JUMAAT (6 Disember 2024)
Data Pekerjaan Kanada (9.30 Malam) – Bank pusat Kanada (BOC) menjadi antara yang konsisten melaksanakan pemotongan kadar faedahnya sejak dimulakan pada mesyuarat Jun tahun ini. Pada Oktober, BOC lebih agresif memotong kadar sebanyak 50 mata asas. Petunjuk seterusnya akan hadir menerusi laporan pekerjaan Kanada bagi bulan November.
Data Pekerjaan NFP AS (9.30 Malam) – Selepas bacaan data yang kurang tepat pada bulan sebelumnya ekoran beberapa kawasan di Amerika dilanda bencana, pasaran akan kembali menilai data terbaru pada angka pertambahan pekerjaan bagi bulan November. Ramalan adalah 202,000 pekerjaan bakal dicatatkan sementara kadar pengangguran diunjurkan meningkat dari 4.1% kepada 4.2%.