Aerodyne Group yang merupakan sebuah syarikat teknologi Malaysia yang khusus dalam bidang teknologi dron dan analitik data, mencetuskan kebimbangan apabila dilaporkan kerugian yang mencecah RM100 juta.
Syarikat ini terkenal kerana kepakarannya dalam membangunkan dan menggunakan dron untuk tujuan perindustrian, seperti pemeriksaan infrastruktur, pertanian, minyak dan gas, pemantauan talian kuasa dan banyak lagi.
Pada sekitar tahun 2019 sebelum ini, Aerodyne menjadi bualan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana berhasrat untuk menghasilkan ‘kereta terbang’ pertama Malaysia yang dinamakan air mobility vehicle.
Namun, projek tersebut masih tidak kelihatan hasilnya dan Aerodyne kini dilaporkan telah mengalami kerugian yang agak ketara.
Kerugian tersebut mencetuskan kebimbangan susulan dikatakan melibatkan dana Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Petronas Venture dan VentureTech (MIGHT).
KWAP adalah salah satu dana pencen terbesar di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menguruskan simpanan persaraan untuk kakitangan sektor awam.
Selain KWAP, terdapat juga syarikat luar negara yang dilaporkan melabur kepada Aerodyne antaranya Jepun dan Korea Selatan yang berjumlah $30 juta dolar.
Syarikat ini pernah disiasat pada 2019 setelah menggunakan dana syarikat VentureTech Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Dato’ Kamarul A Muhamed sebelum ini telah menjelaskan bahawa dana RM20 juta yang diterima daripada VentureTech bukan untuk digunakan pada projek kereta terbang itu, tetapi untuk meluaskan perniagaan dron syarikat tersebut.
Ramai pihak meluahkan kegusaran ini ekoran bimbang situasi sama berlaku seperti krisis yang dialami oleh syarikat Fashion Valet tempoh hari.
Sebelum ini, Fashion valet dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM43.9 bilion hasil pelaburan yang melibatkan Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).