Pada carta pasangan mata wang GBP/USD, pelabur melihat peningkatan semula harga di atas paras 1.27000 ketika Pound berjaya menyerap tekanan US dolar sebelum ini.
Pengukuhan US dolar yang telah dipaparkan di awal minggu lalu gagal diteruskan menyaksikan raja mata wang itu semakin bergerak suram menuju ke penghujung minggu ini.
Pasaran terus menghadam petunjuk terbaru menerusi komponen data pekerjaan yang diterbitkan dengan tumpuan utama akan terarah kepada laporan NFP pada Jumaat.
Pada sesi New York semalam, data ADP menunjukkan pertambahan pekerjaan swasta yang menurun lebih rendah dari angka ramalan untuk November, memberi isyarat kurang baik untuk NFP.
Situasi ini boleh mendorong kenaikan harga dilanjutkan lagi pada carta GBP/USD yang sedang memulih dari kejatuhan awal minggu.
Pada Isnin lalu, harga telah susut ke sekitar 1.26200 ketika pasaran menghadam isu tarif Donald Trump yang mencetus sentimen pasaran berisiko.
Namun harga kembali beransur meningkat pada Selasa dan Rabu semalam dengan beberapa kali cubaan untuk melepasi rintangan di paras 1.27000.
Pada sesi New York semalam, harga akhirnya berjaya melepasi paras 1.27000 namun gagal untuk mengumpul momentum dengan sempurna.
Harga kembali hampiri semula paras tersebut dengan pergerakan mendatar dipaparkan pada sesi Asia pagi ini (Khamis).
Sekiranya berjaya harga melonjak lebih tinggi, kenaikan harga bakal mengatasi paras penutupan minggu lalu pada ketinggian sekitar 1.27500.
Seterusnya harga akan mensasarkan pada 1.28000 untuk catatkan paras ketinggian terbaru 3 minggu.
Namun jika harga junam di bawah 1.27000 semula, berisiko untuk perubahan harga berlaku dengan isyarat bearish akan diperhatikan.
Untuk penurunan yang dilanjutkan, zon penting pada 1.26000 dijangka akan menjadi sasaran yang bakal dituju.
Lihat gambar carta harga pasangan GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.