Pelabur emas bakal menghadapi minggu yang sangat ‘busy’ ekoran jadual ekonomi yang sangat padat pada minggu ini dijangka memberi kesan terhadap US dolar dan mempengaruhi pergerakan harga emas.
Ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell pada Selasa, akan diperhatikan secara meluas untuk sebarang petunjuk tentang dasar monetari masa hadapan, yang boleh memberi kesan ke atas jangkaan inflasi dan kadar faedah.
Data tinjauan ISM bagi sektor pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) antara yang akan diperhatikan selain laporan pembukaan pekerjaan JOLTS AS, ADP dan seterusnya Non-Farm Payroll (NFP) yang akan menjadi tumpuan Fed.
Meneliti pergerakan pada carta XAU/USD yang mengukur nilai emas berbanding US dolar, pada sesi terakhir minggu lalu, harga pamerkan corak menurun ke paras sekitar 2644.00 setelah berundur dari paras tertinggi yang mencipta rekod sejarah terbaru iaitu 2685.00.
Untuk pergerakan harga semasa pada hari ini (Isnin), harga dilihat berada dalam keadaan ‘sideway’ berlegar di bawah zon 2670.00 setakat awal sesi Eropah, selepas kejatuhan dipamerkan di penutup minggu lalu.
Jangkaan kenaikan yang lebih tinggi akan masih diteruskan jika US dolar kekal bergerak lemah minggu ini dengan paras 2670.00 bakal menjadi tumpuan harga yang merupakan resistance yang kuat.
Sekiranya paras tersebut berjaya ditembusi, berkemungkinan harga emas mampu mencapai paras tertinggi baru dengan tumpuan pelabur sehingga ke paras 2700.00.
Harga emas juga mempunyai kemungkinan untuk membuat penurunan memandangkan terdapat banyak data yang mampu menyokong US dolar untuk menguat dan boleh membuatkan logam emas lemah.
Sekiranya harga susut dan ‘close’ di bawah paras 2600.00, pelabur akan semakin yakin menjangkakan harga emas akan memulakan trend bearish.
Tumpuan seterusnya untuk penurunan lebih rendah adalah sekitar julat antara 2530.00 hingga 2500.00 dengan reaksi harga emas akan diperhatikan untuk menentukan arah selanjutnya.
Lihat gambar carta harga XAU/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.