Pengukuhan lebih ketara US dolar dipaparkan pada dagangan Selasa semalam ketika pelabur terus menilai situasi semasa pasaran yang bercampur untuk beberapa minggu terawal di pembukaan 2024 ini.
Sentimen berisiko pasaran dengan ketegangan geopolitik di Timur Tengah telah menjadi faktor yang menyokong pengukuhan US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Kedua, US dolar kembali mengukuh didorong oleh jangkaan untuk pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve (Fed) yang semakin pudar.
Laporan data pekerjaan NFP dan inflasi pengguna di Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat ekonomi negara itu masih lagi berdaya tahan.
Justeru, penurunan kadar faedah diragui untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sebaliknya penggubal dasar berkemungkinan akan terus mengekalkan dasar yang ketat sedia ada sehingga data-data terbaru menunjukkan isyarat ekonomi semakin berisiko.
Kenyataan disampaikan oleh Gabenor Fed Christopher Waller juga semakin menurunkan peratusan terhadap langkah penurunan kadar faedah pada Mac, sekaligus mempengaruhi US dolar untuk pulih berlegar di paras tertinggi 1 bulan.
Indeks dolar (DXY) dilihat meningkat lebih tinggi ke paras 103.00 mata, mencapai paras ketinggian terbaru sejak 14 Disember tahun lalu.
Sementara, hasil perbendaharaan 10-tahun AS juga turut paparkan peningkatan semula hingga ke sekitar 4.08%.
Data jualan runcit AS akan diperhatikan pada sesi New York malam nanti selepas data ekonomi China diterbitkan pada sesi Asia sebelum menyusul pula laporan data inflasi UK di sesi Eropah.
Pada Selasa semalam, laporan data pekerjaan UK diterbitkan dengan angka yang agak bercampur dan dilihat gagal untuk menyuntik sokongan kepada pergerakan Pound.
Euro turut gagal untuk menyerlah walaupun data tinjauan ZEW ekonomi Jerman catat angka bacaan yang positif.
Data inflasi Kanada menjadi tumpuan di sesi New York semalam dengan bacaan yang mampu untuk menyokong pengukuhan dolar Kanada, namun situasi pengukuhan US dolar telah membantutkannya.
Kesan pengukuhan US dolar turut dapat dilihat pada pasaran komoditi apabila harga emas alami penyusutan dari paras $2,050 hingga ke sekitar $2,024 di penghujung sesi New York.
Penganalisis pasaran tetap menjangkakan pemotongan kadar faedah oleh Fed tetap akan berlaku pada tahun ini, namun bukanlah dengan pantas.