US dolar paparkan pergerakan suram pada sesi dagangan terakhir minggu lalu apabila tumpuan terarah kepada data inflasi pengeluar Amerika Syarikat (AS), namun kembali menunjukkan pengukuhan nilainya semula pada pembukaan sesi pertama dagangan di awal minggu ini.
Indeks harga pengeluar (PPI) AS yang diterbitkan pada sesi New York Jumaat lalu hadir dengan angka menurun bagi bulan September, lebih rendah berbanding ramalan.
Turut diperhatikan pada sesi terakhir itu adalah tinjauan sentimen pengguna oleh Universiti Michigan yang menunjukkan penurunan kepada 68.9 mata untuk Oktober selepas capai paras tertinggi 5 bulan pada September lalu.
Pasaran masih mengekalkan jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) meneruskan langkah pemotongan kadar faedah pada mesyuarat November, namun berkemungkinan tidak seagresif seperti September dengan pemotongan 50 mata asas.
Beberapa petunjuk terbaru akan diperhatikan pada data-data yang hadir pada minggu ini sementara pelabur juga sedang memantau perkembangan pada ekonomi kedua terbesar dunia, China.
China pada hujung minggu lalu telah mengumumkan strategi rangsangan kewangan mega mereka untuk memulihkan semula ekonomi yang suram.
Menteri Kewangan Lan Foan memaklumkan negara itu bakal mengeluarkan bon istimewa yang bernilai 2.3 trilion Yuan bertujuan untuk merangsang ekonomi dalam tempoh 3 bulan.
Bon yang bernilai sekitar $325.5 bilion itu dipercayai adalah yang terbesar dikeluarkan sejak krisis kewangan global 2007.
Namun pelabur agak kecewa dan masih keliru berikutan tiada pembentangan atau butiran lanjut bagaimana program tersebut akan dilakukan.
Data inflasi China terbaru untuk September juga dicatatkan pada angka yang rendah iaitu 0.4%, meningkatkan desakan untuk program rangsangan ekonomi itu dilaksanakan.
Namun, pelabur USD perlu berhati-hati sekiranya situasi rangsangan ekonomi kedua terbesar dunia itu semakin memulihkan sentimen global, US dolar sebagai mata wang safe-haven berisiko untuk alami penyusutan nilai semula.