“Hmm agak-agak harga ETH akan meneruskan kenaikan lebih tinggi tak?”
Mata wang kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) akhirnya berjaya menembusi $3,000 buat kali pertama sejak April 2022 apabila jangkaan mengenai kelulusan spot ETH ETF di Amerika Syarikat (AS) semakin berkembang.
Didorong oleh peningkatan pasaran kripto, kenaikan ETH telah mencetuskan keterujaan di kalangan para pedagang apabila ramai menjangkakan harganya akan menyasarkan $3,500 setelah spot ETH ETF diluluskan.
Bukan itu sahaja, beberapa firma kewangan utama seperti Fidelity, BlackRock dan Franklin Templeton yang menyerahkan permohonannya untuk spot ETH ETF juga adalah punca keterujaan banyak pedagang tercetus.
Sementara ICO ETH yang tidak aktif selama lapan tahun telah muncul semula susulan menghantar sejumlah besar ETH ke bursa Kraken dan ini hanya menambah pada peningkatan aktiviti serta tarikan terhadap ETH.
Memang tidak dinafikan harga ETH kini telah menunjukkan pullback jangka pendek, tetapi sentimen pasaran kripto adalah menaik seterusnya menyebabkan pedagang termasuk penganalisis melihat secara teliti perkembangan kelulusan ETF.
Ditambah pula terdapat gembar-gembur yang semakin meningkat di sekitar naik taraf Dencun yang dijadualkan pada pertengahan Mac yang berpotensi mencanakkan rangkaian ETH secara ketara.
Sungguhpun kelulusan spot ETH ETF menjanjikan permulaan era baharu penyertaan dan pelaburan institusi dalam ETH, keputusan itu masih tidak pasti disebabkan pendirian Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) yang masih berhati-hati terhadap kripto selain daripada Bitcoin (BTC).
Setakat penulisan ini, harga ETH melonjak sebanyak 3.12% pada paras $3,008 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran bernilai $361 bilion kemudian merekodkan pendakian 14.19% sepanjang minggu lepas.