Organisasi BRICS sedang maju ke hadapan dengan rancangan penghasilan sistem pembayaran alternatif bertujuan mengurangkan pergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat.
Inisiatif baharu yang dikenali sebagai BRICS Pay ini, dipromosikan sebagai platform desentralisasi, selamat, dan berdikari yang direka untuk meningkatkan perdagangan merentas sempadan tanpa campur tangan luar.
Sidang kemuncak BRICS pertama selepas pengembangannya akan berlangsung pada 22–24 Oktober di Kazan, Rusia.
Pertemuan ini dijangka menjadi medan perbincangan penting untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi antara anggotanya, yang kini menguasai 37% daripada ekonomi global.
Dengan negara-negara seperti Ethiopia, Iran, Mesir, dan UAE kini menyertai barisan BRICS, tumpuan utama adalah bagaimana blok ekonomi ini mampu mengubah arus perdagangan dunia dan menamatkan dominasi dolar AS.
Menteri Kewangan Rusia, Anton Siluanov, menekankan bahawa sistem kewangan global yang dikawal oleh negara-negara Barat memberi tekanan yang tidak wajar kepada negara-negara membangun.
BRICS Pay, mula dicipta sejak 2019, dijangka menawarkan lebih banyak cara yang lebih cepat, dan lebih murah untuk menyelesaikan perdagangan antara negara-negara BRICS.
BRICS Pay berfungsi serupa dengan SWIFT boleh menjadi asas kepada autonomi ekonomi dan kepelbagaian perdagangan global.
Setakat ini, BRICS Pay telah mempunyai laman sesawangnya yang tersendiri, aplikasi telefon malah model kad sementara sebagai satu evaluasi terhadap keberhasilan sistem ini.
Pakar-pakar dari China mencatatkan bahawa sistem ini dapat mengurangkan pergantungan kepada dolar dan meningkatkan kedaulatan ekonomi pasaran-pasaran baru muncul.
Trend “de-dollarisation” kini semakin berkembang apabila banyak negara mencari alternatif lain setelah sekatan dan risiko yang dikaitkan dengan perdagangan berasaskan dolar terjadi.
Sidang perjumpaan BRICS juga akan menampilkan demonstrasi teknologi BRICS Pay, memberikan peserta gambaran tentang peranan masa depannya dalam perdagangan.
Apa yang bakal terhasil daripada sidang kemuncak ini mungkin bukan sekadar kerjasama namun permulaan kepada kuasa ekonomi baharu yang bakal merombak sistem kewangan global selama-lamanya.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam membangunkan sistem kewangan antarabangsa yang lebih seimbang yang lebih memenuhi kepentingan ekonomi negara-negara yang sedang membangun.