Pakatan BRICS mengembangkan pengaruh kumpulannya dengan secara rasmi menambah 13 negara baharu sebagai rakan kongsi seterusnya bagi meluaskan jangkauan global.
Pengumuman itu dibuat semasa sidang kemuncak BRICS yang sedang berlangsung di Kazan, Rusia menandakan perubahan ketara dalam landskap geopolitik ketika blok itu berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan ekonomi sedang pesat membangun di seluruh dunia.
Negara yang baru ditambah termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam menyertai BRICS sebagai negara rakan kongsi walaupun belum menjadi ahli penuh.
Perkongsian ini membuka pintu untuk kerjasama yang lebih besar dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur dan penjajaran politik.
Langkah itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada strategi BRICS untuk mempelbagaikan pengaruhnya melebihi lima ahli asalnya iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan untuk mewujudkan rangka kerja ekonomi global yang lebih inklusif.
Pengembangan ini juga merupakan tindak balas langsung kepada keperluan yang semakin meningkat untuk alternatif kepada institusi yang didominasi Barat seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.
Dengan kemasukan 13 negara rakan kongsi ini, BRICS telah meluaskan jejak globalnya dengan ketara melibatkan negara-negara dari Afrika, Asia, Eropah dan Amerika Latin.
Penglibatan Malaysia berdasarkan potensi pengeksport utama elektronik dan komoditi, kekuatan ekonomi Malaysia menambahkan lagi kepelbagaian kepada pakatan ekonomi BRICS di Asia Tenggara.
Bagi negara seperti Nigeria, Indonesia dan Turki, perkongsian itu menawarkan peluang untuk mengembangkan jangkauan dan pengaruh ekonomi mereka di pentas global. – The Zimbabwe Mail