Bursa Malaysia melantun semula pada pertengahan sesi dagangan selepas mencatatkan kejatuhan pada awal pagi berikutan kekurangan minat belian daripada dana asing.
Pada pukul 3.35 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.12 mata kepada 1,616.20 daripada 1,610.47 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.90 mata lebih tinggi kepada 1,612.37.
Di seluruh pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 332 dan 474 kaunter kekal tidak berubah.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penanda aras itu terus mengalami penyusutan dan ditutup di atas paras 1,610 walaupun mencatatkan dagangan awal yang optimistik.
Beliau berkata prestasi itu disebabkan pengambilan untung oleh dana asing.
Katanya lagi, aliran keluar dana asing baru-baru ini mungkin disebabkan kemungkinan pengurangan yang lebih kecil ke atas kadar faedah oleh Fed AS yang turut mendorong ringgit rendah berbanding dolar AS kepada RM4.36 pada masa ini.
Mereka menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,610 hingga 1,620 sepanjang hari ini.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank menambah enam sen kepada RM10.46, Public Bank tidak berubah pada RM4.46, CIMB naik tiga sen kepada RM8.05, Tenaga susut lapan sen kepada RM13.92, dan IHH menguncup dua sen kepada RM7.34.
Dalam kalangan saham aktif, OB Holdings naik satu sen kepada 25 sen, MyEG turun setengah sen kepada 87.5 sen, manakala Yew Lee dan warannya masing-masing meningkat setengah sen kepada 57.5 sen dan 24.5 sen. – Bernama